Siti Kasim Tolak Politik Ugut Pengundi, Dakwa PH Guna Taktik ‘Menakut-nakutkan’

KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis hak asasi manusia yang juga ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM), Siti Kasim menolak dakwaan bahawa pengundi bukan Melayu perlu terus menyokong Pakatan Harapan (PH) bagi menghalang pembentukan kerajaan Persekutuan yang didominasi parti-parti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau menyifatkan mesej yang tersebar dalam beberapa kumpulan WhatsApp, yang menggesa pengundi Cina dan India supaya tidak memboikot PRU16 atau mengalihkan sokongan kepada parti lain, sebagai propaganda politik berasaskan ketakutan.

Menurutnya, mesej berkenaan dilihat bertujuan menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu supaya terus menyokong PH dan DAP walaupun mereka kecewa atau tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

“Ini bukan kali pertama saya melihat taktik menimbulkan ketakutan seperti ini, yang jelas bertujuan menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu supaya terus bersama PH, tidak kira betapa kecewa atau hilang keyakinan mereka.

“Nampaknya, jentera siber politik sedang bekerja lebih keras menjelang PRU16.

“Daripada memberikan alasan yang meyakinkan kepada pengundi untuk menyokong PH, taktik menakut-nakutkan yang sama terus diulang. Rupanya, mengekalkan ketakutan rakyat lebih mudah berbanding mempertahankan prestasi kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Mengulas mesej berkenaan, Siti berkata, sokongan pengundi bukan sesuatu yang boleh dituntut secara automatik oleh mana-mana parti politik, sebaliknya perlu diperoleh melalui prestasi dan pelaksanaan janji.

“Undi perlu diperoleh, bukannya menjadi hak yang boleh dituntut,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan, kerajaan perlu dipertanggungjawabkan, manakala DAP juga wajar ditegur sekiranya gagal mempertahankan prinsip perjuangannya.

“Jika Anwar gagal melaksanakan reformasi, tuntut beliau bertanggungjawab. Jika DAP gagal mempertahankan prinsipnya, tuntut parti itu bertanggungjawab.

“Jika UMNO terus mengamalkan hipokrasi politik, tuntut parti itu bertanggungjawab. Jika Pas mempromosikan sikap tidak bertoleransi dalam beragama, tentang perkara itu tanpa henti.

“Tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya.

Siti turut menolak pandangan bahawa pengundi bukan Melayu tidak mempunyai pilihan selain menyokong gabungan PH kerana ketiadaan alternatif politik pelbagai kaum yang berdaya saing.

Menurutnya, tanggapan bahawa tiada pilihan ketiga hanya akan mengekalkan penguasaan kelompok elit politik yang sama dari satu pilihan raya ke pilihan raya berikutnya.

“Sudah tentu tidak akan wujud pilihan ketiga jika orang seperti anda terus menakut-nakutkan pengundi daripada menyokong gerakan politik baharu.

“Inilah mentaliti yang menyebabkan kelompok elit politik sama terus berkuasa, pilihan raya demi pilihan raya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok pengundi berdasarkan kaum semata-mata kerana semua masyarakat termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak berhak mendapat kerajaan yang menghormati hak perlembagaan mereka.

Siti berkata, perjuangan politik sepatutnya memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, reformasi institusi, kesamarataan di sisi undang-undang serta kebebasan daripada ekstremisme agama.

“Jangan menakut-nakutkan satu kaum supaya mengundi bagi menentang kaum yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan mesej berkenaan sebagai satu bentuk ugutan emosi politik yang cuba menggambarkan kerajaan Anwar sebagai benteng terakhir untuk menghalang pengundi bukan Melayu daripada dipinggirkan sekiranya PN, BN atau Pas membentuk kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Siti menegaskan bahawa rakyat tidak sepatutnya dipaksa menerima kegagalan politik semasa hanya kerana bimbang kerajaan alternatif mungkin lebih buruk.

“Demokrasi bukan tentang memilih parti politik mana yang akan dibenarkan menjadikan kita tebusan untuk lima tahun lagi.

“Malaysia tidak akan maju jika kita terus menerima idea tidak masuk akal bahawa kita perlu bertolak ansur dengan kegagalan politik hari ini kerana bimbang ahli politik esok mungkin lebih teruk.

“Itu bukan demokrasi. Itu adalah penawanan politik yang menyamar sebagai kebijaksanaan politik,” katanya.

Beliau menyifatkan mesej berkenaan sebagai hujah yang merendahkan martabat pengundi, memecahbelahkan masyarakat mengikut kaum serta menggunakan tekanan emosi untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.

BBerkaitan

Latest articles