WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mendakwa negaranya kini memiliki Greenland selepas perjanjian keselamatan melibatkan AS, Denmark dan wilayah autonomi itu diluluskan Parlimen Denmark.
Trump membuat kenyataan itu ketika sidang media di Rumah Putih pada Jumaat, sehari selepas pulang daripada lawatan empat hari ke China dan Filipina.
“Seperti yang anda tahu, kita sudah memiliki Greenland. Perkara itu baru sahaja diluluskan semalam. Semua orang berkata, anda tidak akan mendapatkannya. Tetapi kita sudah memilikinya dan kita memilikinya dengan kukuh,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Denmark dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte atas perkembangan berkenaan.
Menurut Trump, perjanjian itu memberikan perlindungan strategik yang besar kepada AS.
Bagaimanapun, dakwaan Trump bahawa AS kini memiliki Greenland tidak menggambarkan kedudukan sebenar dari sudut kedaulatan wilayah berkenaan.
Reuters sebelum ini melaporkan Parlimen Denmark pada Khamis meluluskan secara sebulat suara perjanjian keselamatan dengan AS yang bertujuan meredakan ketegangan berhubung masa depan Greenland.
Perjanjian yang ditandatangani AS, Denmark dan Greenland pada September lalu itu membolehkan Washington memperluaskan peranan ketenteraannya di wilayah Artik berkenaan, termasuk membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu Golden Dome.
Bagaimanapun, perjanjian itu tetap mengiktiraf kedaulatan Denmark serta hak rakyat Greenland untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Greenland yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk merupakan wilayah autonomi di bawah Kerajaan Denmark dan mempunyai kedudukan strategik di rantau Artik.
Reuters melaporkan ketegangan tercetus selepas Trump berulang kali mengancam untuk mengambil alih Greenland, sebuah pulau yang kaya dengan sumber mineral dan mempunyai kepentingan besar dari sudut keselamatan serta pertahanan.
Keengganan Trump menolak kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan atau ekonomi bagi mendapatkan wilayah itu sebelum ini turut mencetuskan krisis diplomatik dalam NATO pada Januari lalu.
Pakar politik dari Universiti Copenhagen, Mikkel Vedby Rasmussen sebelum ini berpandangan perjanjian berkenaan mungkin bukan pengakhiran kepada tuntutan Washington, sebaliknya permulaan kepada usaha AS mendapatkan pengaruh lebih besar dalam keputusan keselamatan dan pengurusan sumber strategik Greenland.










