Jangan Biar Undang-undang Berubah Ikut Keadaan, Rakyat Perlu Kepastian – Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Sistem kehakiman yang dipercayai rakyat bergantung kepada undang-undang yang jelas, konsisten dan tidak berubah sewenang-wenangnya, bagi memastikan setiap individu mendapat perlindungan serta keadilan sewajarnya.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berkata ketidakjelasan undang-undang boleh menyebabkan orang ramai hilang keyakinan, selain terpaksa berdepan proses litigasi yang panjang untuk mendapatkan kepastian mengenai hak mereka.

Menurutnya, kepastian undang-undang membolehkan rakyat, pelabur, sektor perniagaan dan pihak yang berhadapan dengan pertuduhan memahami kedudukan mereka serta membuat keputusan berdasarkan peruntukan yang boleh dipercayai.

“Apabila sesuatu undang-undang itu jelas, orang ramai boleh merancang dengan penuh keyakinan… jika tidak, mereka akan teragak-agak, terpaksa melalui proses litigasi dan hilang kepercayaan.

“Peraturan yang tidak diketahui sebelumnya tidak boleh digunakan dengan adil selepas itu. Kepastian bukan sekadar satu kemudahan dalam sistem perundangan, sebaliknya ia adalah syarat untuk memperoleh keadilan dan kepercayaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dan menyempurnakan majlis penutupan Forum Perundangan Malaysia 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, hari ini.

Wan Ahmad Farid berkata badan kehakiman perlu memastikan keseimbangan antara keadilan dan kepastian undang-undang, tanpa menyimpang daripada kerangka statut serta Perlembagaan Persekutuan.

Mengambil analogi kisah Goldilocks and the Three Bears, beliau menjelaskan penggubal undang-undang, pengawal selia, pengamal undang-undang dan hakim perlu mencari pendekatan yang tepat dalam menentukan tahap peraturan bagi menangani cabaran semasa.

Beliau turut menyorot perkembangan kecerdasan buatan (AI) sebagai contoh, dengan menyatakan kawalan berlebihan boleh menyekat inovasi dan menjejaskan perniagaan, manakala peraturan terlalu longgar pula berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan teknologi, penipuan dan salah laku korporat.

Katanya, kemajuan teknologi serta kepentingan komersial tidak seharusnya mengatasi prinsip Perlembagaan dan nilai keadilan dalam sistem perundangan.

“Seni sebenar dalam bidang perundangan terletak pada keupayaan mencari titik keseimbangan yang tepat antara pragmatisme komersial dan prinsip Perlembagaan, antara kepantasan teknologi dan hati nurani manusia serta memastikan kecekapan tidak akan pernah mengorbankan keadilan,” katanya.

Forum Perundangan Malaysia edisi keempat itu menjadi platform tahunan bagi warga profesion perundangan membincangkan perkembangan penting serta hala tuju undang-undang negara.

BBerkaitan

Latest articles