UNHCR perlu bertanggungjawab, 225,000 pelarian mesti diselesaikan – Radzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) benar-benar menghentikan pendaftaran pelarian baharu dan tidak membenarkan jumlah mereka di Malaysia terus meningkat.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kerajaan juga perlu mendapatkan akses kepada pangkalan data UNHCR bagi memastikan jumlah pelarian yang telah didaftarkan dapat dikenal pasti dan dipantau.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan ruang pendaftaran secara dalam talian disalahgunakan warga asing dan sindiket untuk mendapatkan status pelarian selepas memasuki Malaysia menggunakan pas pelawat atau secara tidak sah.

“Persoalan paling banyak ditanya rakyat di luar sana ialah apakah UNHCR akan benar-benar menghentikan pendaftaran pelarian baharu ini? Bagaimana kita nak tahu kalau pendaftaran masih dibuat?

“Sebab itu saya mohon kerajaan pantau perkara ini untuk memastikan pendaftaran itu benar-benar telah dihentikan. Salah satu caranya adalah kerajaan mendapatkan akses kepada data sistem maklumat pelarian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Radzi berkata, isu pendaftaran pelarian secara terbuka itu pernah dibangkitkannya beberapa kali di Dewan Rakyat, termasuk selepas Menteri Dalam Negeri menjelaskan pada 13 Oktober lalu bahawa terdapat warga asing dari luar negara yang mendaftar secara dalam talian sebelum memasuki Malaysia menggunakan pas pelawat.

Katanya, kerajaan juga perlu memberikan mesej jelas bahawa Malaysia tidak lagi menerima sebarang pendaftaran pelarian baharu, selaras dengan ketetapan Program Dokumentasi Pelarian (DPP) yang menetapkan 1 Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan.

“Maknanya apa? Sekarang ini kerajaan perlu hantar signal yang jelas. Bila UNHCR kata dah hentikan pendaftaran dan DPP kata 1 Januari 2023 tidak ada pendaftaran baharu, seluruh Malaysia pada hari ini tidak menerima apa-apa permohonan atau sesiapa sebagai pelarian.

“Apa yang kita nak kena buat sekarang adalah untuk clearkan apa yang telah didaftarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi menegaskan UNHCR perlu bertanggungjawab mencari penyelesaian terhadap lebih 225,000 pelarian yang berada di Malaysia, termasuk memastikan mereka ditempatkan di negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal.

Beliau berkata, berdasarkan rekod bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga.

Katanya, jika kadar penghantaran itu kekal sekitar 2,000 orang setahun, Malaysia memerlukan kira-kira 111 tahun untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kalau kita ada 225,000 orang pelarian, separuh tahun hantar 974, katakanlah setahun hantar 2,000 orang, kita perlukan 111 tahun nak hantar mereka balik. Ini tak masuk akal.

“Sebab itu saya kata UNHCR selama ini terlalu memudahkan kerana Malaysia membuka ruang seolah-olah tidak mengapa mereka masuk,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak seharusnya terlalu bimbang dengan tekanan antarabangsa sekiranya mengambil langkah menghantar pelarian pulang ke negara asal, selain menggunakan saluran diplomasi melalui ASEAN dan platform antarabangsa bagi mencari penyelesaian.

Menurutnya, Malaysia pernah menguruskan isu pelarian Vietnam menerusi rundingan sehingga pelarian terakhir dihantar pulang ke negara asal selepas sebahagian daripada mereka ditempatkan di negara ketiga.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, kad UNHCR atau DPP tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai dokumen yang memberikan kelayakan kepada pemegangnya untuk terus menetap di Malaysia.

Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu mempunyai pendirian jelas bahawa dokumen berkenaan hanya berfungsi sebagai rekod bagi mengenal pasti individu yang perlu melalui proses penghantaran ke negara ketiga atau negara asal.

“Kita tidak menandatangani mana-mana konvensyen berkaitan dengan pelarian. Kad UNHCR atau DPP ini bukan untuk melayakkan mereka duduk di sini.

“Kita nak pastikan mereka yang direkodkan ini akan dihantar ke negara ketiga atau negara asal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membangkitkan tekanan terhadap sistem kesihatan negara susulan kehadiran pelarian dan pendatang asing tanpa izin yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Menurutnya, keadaan itu turut menyumbang kepada tunggakan bil hospital kerajaan yang melebihi RM200 juta.

“Rakyat kita dalam sistem kesihatan sudah memang tertekan. Kita tengok insurans kesihatan tinggi, ramai yang memilih untuk ke hospital kerajaan dan apabila dalam hospital kerajaan juga ramai pelarian serta pendatang asing tanpa izin turut dimasukkan.

“Apatah lagi mereka masuk tanpa membayar bil-bil di hospital kerajaan hingga tunggakan ratusan juta ringgit,” katanya.

Radzi turut mengingatkan kerajaan supaya memastikan pelaksanaan DPP tidak membuka ruang kepada sindiket mengambil kesempatan mendaftarkan pendatang asing tanpa izin sebagai pelarian.

Beliau berkata, kegagalan mengawal perkara itu boleh menyebabkan jumlah individu yang direkodkan melalui program berkenaan terus meningkat dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Selain isu pelarian, beliau turut meminta Jabatan Imigresen menyiasat penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing yang dipercayai tinggal di negara ini selepas dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.

Beliau mengambil contoh kes seorang pelajar warga asing yang didakwa menetak anggota polis sehingga menyebabkan pergelangan tangan mangsa putus.

Katanya, berdasarkan rekod yang diperolehnya, individu berkenaan mula memegang pas pelajar pada 2015, manakala permohonan pada 2017 masih tergantung sementara menunggu dokumen berkaitan.

“Pas pelajar akhir sekali digunakan sehingga 2018, selepas itu luput dan akhirnya pasportnya pun luput, tetapi masih kekal di negara ini.

“Ini hanya satu kes. Saya mohon pihak Imigresen dan kerajaan melihat perkara ini. Kita dengar cerita ini banyak, di IPT ramai yang menggunakan atau menyalahgunakan pas pelajar untuk masuk ke Malaysia tetapi sebenarnya bukan datang belajar,” katanya.

Radzi berkata, beliau akan mengemukakan soalan berkaitan isu itu di Parlimen bagi mendapatkan data mengenai jumlah warga asing yang tinggal lebih masa selepas pas mereka tamat tempoh.

Mengulas tindakan sesetengah pihak mengambil tindakan sendiri terhadap komuniti migran termasuk pelarian Rohingya, beliau tidak bersetuju dengan pendekatan vigilante atau tindakan di luar undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan dalam menangani isu berkenaan bagi mengelakkan kemarahan rakyat mendorong mereka bertindak sendiri.

“Saya tidak setuju untuk mengambil tindakan mereka. Tetapi kerajaan pun kena tunjukkan bahawa mereka serius.

“Kita negara ada undang-undang, kita ada pendekatan undang-undang, kita ada agensi penguat kuasa. Haknya adalah pada kerajaan, tanggungjawabnya adalah pada kerajaan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap isu yang membabitkan penguatkuasaan undang-undang supaya rakyat tidak hilang keyakinan terhadap keupayaan pihak berkuasa menyelesaikannya.

BBerkaitan

Latest articles