KUALA LUMPUR: Parti-parti yang menganggotai Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya perlu mengambil serius mesej yang disampaikan pengundi menerusi keputusan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, kemenangan BN dengan memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan menyeluruh rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, keputusan itu perlu dinilai secara lebih terbuka kerana ia turut membawa mesej kepada semua parti politik, khususnya parti yang berada dalam kerajaan di peringkat nasional.
“Keputusan ini tidak wajar ditafsirkan secara mudah sebagai sokongan menyeluruh terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Begitu juga, keputusan pilihan raya negeri tidak boleh dijadikan ukuran mutlak penerimaan rakyat terhadap mana-mana pemimpin atau parti di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan interaksi PGIRM dengan rakyat sepanjang tempoh kempen PRN Melaka, beberapa isu terus dibangkitkan termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, kestabilan pendapatan, kesukaran mengakses bantuan kerajaan dan keperluan rumah sewa mampu milik.
Katanya, rakyat kini mahukan penyelesaian konkrit terhadap masalah kehidupan seharian dan bukannya terus disajikan dengan pertelingkahan politik serta perebutan kuasa.
“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar janji atau menyaksikan pertelingkahan politik. Mereka mahu melihat hasil dan penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, Azmi menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka mengemukakan pelan tindakan 90 hari mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani isu utama rakyat.
Beliau berkata, pelan berkenaan perlu dilengkapi sasaran jelas, tempoh pelaksanaan dan mekanisme pemantauan bagi memastikan tindakan yang dirancang dapat dilaksanakan serta dinilai keberkesanannya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap nasib pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berdepan kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kehilangan sumber pendapatan.
Menurutnya, cadangan akses pengeluaran bersasar daripada Akaun Persaraan KWSP (dahulunya Akaun 1) perlu dinilai secara serius bagi membantu pencarum yang berdepan kesusahan.
“Simpanan persaraan perlu dilindungi, tetapi kesusahan pencarum ketika masih hidup juga tidak boleh diketepikan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan perlu bermuhasabah dan menilai prestasi masing-masing, selain membuktikan mandat yang diberikan rakyat diterjemahkan kepada dasar serta tindakan berkesan.
“Jangan tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk menyedari bahawa kepercayaan pengundi semakin terhakis.
“Akhirnya, rakyat mempunyai kuasa untuk menilai, memilih dan menukar kerajaan melalui peti undi,” katanya.
Beliau turut menegaskan PGIRM kekal sebagai pertubuhan bebas yang tidak mewakili, menyokong atau mempertahankan mana-mana parti politik mahupun individu dalam kepimpinan negara.
“Kemenangan pilihan raya bukan cek kosong. Mandat rakyat datang bersama tanggungjawab.
“PGIRM bukan suara mana-mana parti politik. PGIRM adalah suara rakyat yang berhak menegur setiap pihak yang memegang kuasa,” katanya.










