Anwar Di Tangga Ke-13 Muslim Paling Berpengaruh Dunia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf antara 15 tokoh Islam paling berpengaruh dunia apabila menduduki tempat ke-13 dalam senarai The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2027.

Pengiktirafan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre yang berpangkalan di Jordan itu menonjolkan kepimpinan Anwar menerusi agenda ekonomi Malaysia Madani, diplomasi serantau serta pendirian tegas dalam memperjuangkan isu Palestin.

Menurut penerbitan tahunan itu, Anwar yang mula menerajui Malaysia pada November 2022 memberi tumpuan kepada transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data dan peralihan tenaga sebagai pemacu pembangunan negara.

Beliau turut dipuji atas usaha diplomatik meredakan ketegangan Thailand-Kemboja susulan konflik sempadan pada Julai 2025, termasuk peranan Malaysia dalam membantu mencapai persetujuan gencatan senjata.

Laporan itu juga mengiktiraf pendirian konsisten Anwar dalam membela Palestin, termasuk sokongan terhadap perlindungan orang awam dan bantuan kemanusiaan di Gaza serta penolakan Malaysia terhadap pengiktirafan Israel.

Dalam senarai 2027, kedudukan teratas dikongsi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta Ketua Staf Tentera Darat Pakistan, Syed Asim Munir dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Pemimpin Asia Tenggara lain yang tersenarai dalam kelompok 50 teratas ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di kedudukan ke-16.

Sementara itu, pakar pediatrik Palestin, Dr Hussam Abu Safiya, yang ditahan Israel tanpa pertuduhan sejak Disember 2024, dinobatkan sebagai The Muslim 500’s Man of the Year for 2027 dan berada di kedudukan ke-50.

BBerkaitan

Latest articles