Zahid Pertahan Anwar, Cabar Menteri DAP Ikut Jejak Loke Letak Jawatan

MELAKA TENGAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Barisan Nasional (BN) kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sekali gus menolak sebarang desakan supaya menteri daripada parti itu meletakkan jawatan dalam Kabinet.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu menyindir pemimpin DAP yang mendesak beliau berundur supaya mengambil tindakan sama seperti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Pengerusi BN itu berkata, sekiranya Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, benar-benar berpendirian bahawa menteri yang tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri perlu berundur, menteri daripada parti itu juga wajar mengikut langkah Loke.

“Jadi, kalau beliau (Gobind) merasakan apa yang dinyatakannya itu patut dilakukan (desakan meletak jawatan), maka menteri DAP buatlah sebagaimana yang dilakukan setiausaha agung parti mereka.

“Jangan pula selepas meletak jawatan, bertindak seperti orang gila talak. Kita tidak mahu gila talak seperti mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka, hari ini.

Zahid mengulas kenyataan Gobind yang menggesanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.

Mengulas lanjut, Zahid mengakui BN mempunyai perbezaan pendirian dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan di beberapa negeri, termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perbezaan itu tidak boleh disamakan dengan penarikan sokongan terhadap Anwar di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Katanya, setiap parti dalam kerajaan perpaduan mempunyai kebebasan menentukan strategi dan hala tuju politik masing-masing di peringkat negeri, khususnya ketika menghadapi pilihan raya.

“Tidak timbul soal kita tidak menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Anwar di peringkat persekutuan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah sekalipun menteri daripada BN tidak bersetuju dengan dasar kerajaan perpaduan atau berbeza pendapat dengan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Zahid mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Loke.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi pemimpin DAP, termasuk Loke yang mencabar BN supaya keluar daripada kerajaan perpaduan sekiranya tidak lagi bersetuju dengan kepimpinan Anwar.

Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa Selasa lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid menepis kebimbangan kerjasama politik BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap gabungan itu.

Sebaliknya, beliau menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai perkembangan positif yang berpotensi memperkukuh sokongan masyarakat pelbagai kaum.

“Saya fikir ini (kerjasama BN-PN) adalah satu keserasian yang baik dan saya harap ia bukan sekadar untuk menyatukan minda dan dukungan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad,” katanya.

BN dan Pakatan Harapan (PH) kekal bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan, namun kedua-dua gabungan itu bakal berentap pada PRN Melaka Sabtu ini, dengan BN menjalinkan kerjasama pilihan raya bersama PN.

BBerkaitan

Latest articles