Tangan Anggota Polis Putus Ditetak Berjaya Disambung Semula Pakar HKL

KUALA LUMPUR: Tangan kanan anggota polis yang putus akibat ditetak dengan parang ketika berdepan lelaki mengamuk di Desa Aman Puri, Kepong, semalam, dilaporkan berjaya disambungkan semula oleh pasukan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkembangan menggembirakan itu dikongsikan menerusi media sosial oleh seorang pengguna Threads, @kinderbueno_05, hari ini.

Bagaimanapun, kejayaan pembedahan berkenaan masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak hospital.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, anggota berpangkat Lans Koperal dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu mengalami kecederaan parah selepas diserang lelaki bersenjatakan dua bilah parang.

Mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dan badan, manakala beberapa anggota bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan cedera ringan.

Suspek yang melarikan diri selepas kejadian kemudian dikesan semula berhampiran taman permainan sekitar jam 8 malam.

Ketika cubaan menahan suspek, lelaki itu sekali lagi menyerang polis menggunakan parang sebelum ditembak bagi mempertahankan diri.

Suspek disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Anggota polis yang cedera pada awalnya dirawat di Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL untuk menjalani pembedahan kecemasan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, sebelum ini mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan menjalani pembedahan.

BBerkaitan

Latest articles