AmBank Tawar Moratorium Enam Bulan Kepada Pelanggan Terjejas Banjir

KUALA LUMPUR: AmBank Group menawarkan moratorium bayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir di Selangor menerusi program bantuan khas yang diperkenalkan kumpulan perbankan itu.

Bantuan berkenaan turut merangkumi pengecualian caj penggantian dokumen dan kad perbankan bagi meringankan beban pelanggan yang berdepan kerugian akibat bencana berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Jamie Ling berkata, pengecualian itu meliputi penggantian buku simpanan, buku cek, sijil deposit tetap serta kad ATM, kredit dan debit.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu pelanggan mengurangkan tekanan kewangan sepanjang tempoh pemulihan selepas dilanda banjir.

“Kami kini bersedia membantu pelanggan sebaik mungkin sepanjang tempoh sukar ini. Bantuan yang disediakan bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada usaha pemulihan dan membina semula kehidupan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelanggan yang ingin memohon atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh melayari laman rasmi AmBank di:

https://www.ambank.com.my/repayment-assistance/flood-relief-programme.

Dalam pada itu, pelanggan turut disaran menggunakan aplikasi atau laman web AmOnline bagi urusan perbankan masing-masing. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles