MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Melvin Chua berharap semua parti politik dapat menjalankan kempen secara berhemah dan mengelakkan sebarang provokasi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Melvin yang mewakili MCA berkata, baki tempoh berkempen ini, beliau akan terus untuk mendekati pengundi dan menyampaikan tawaranya.
Mengulas mengenai suasan kempen yang berbaki lagi 3 hari ini, beliau berharap parti yang bertanding dapat memperkenalkan calonmasing-masing, bukannya mencetuskan pertelingkahan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana.
“Saya berharap dalam baki tiga hari berkempen ini, semua parti dapat berkempen dengan lebih berhemah.
“Jangan ada pergaduhan atau cakap yang bukan-bukan. Kita berharap persaingan kali ini berlangsung dengan lebih baik dan harmoni,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan aktiviti kempen di Kampung Lapan, di sini.
Dalam pada itu, Melvin turut menggesa pengundi di DUN Kota Laksamana supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka lebih awal pada hari pengundian, Sabtu ini, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Katanya, perubahan cuaca secara mendadak daripada panas kepada hujan lebat boleh menjejaskan pergerakan pengundi, khususnya mereka yang bercadang keluar mengundi lewat.
“Sekarang cuaca tidak menentu. Tadi masih cerah dan terang, tetapi tiba-tiba hujan lebat.
“Jadi saya merayu kepada pengundi supaya keluar lebih awal pada sebelah pagi. Lebih awal adalah lebih baik,” katanya.
Katanya, walaupun cuaca hujan hari ini, beliau tetap mengambil kesempatan mendekati masyarakat setempat termasuk mengunjungi sebuah warung yang terkenal dengan jualan kuih-muih di kawasan berkenaan.
Mengulas harapannya menjelang hari pengundian, Melvin menyeru pengundi Kota Laksamana supaya memberikan kepercayaan kepadanya untuk mewakili suara dan kepentingan masyarakat setempat.
Beliau turut mengingatkan pengundi bahawa namanya berada pada kedudukan nombor dua dalam kertas undi.
“Saya ingin merayu kepada pengundi supaya memberikan undi kepada saya pada hari pengundian nanti.
“Saya Melvin Chua, calon nombor dua, Barisan Nasional,” katanya.










