BN Desak Kerajaan Segera Laksana Titah Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan segera melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah, susulan penegasan Istana Negara bahawa tiada kekeliruan berhubung perintah pengampunan bersyarat itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan Istana Negara perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang sebagai isu pentadbiran atau perbezaan tafsiran undang-undang semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, kelewatan pelaksanaan titah berkenaan turut membabitkan soal penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, kewibawaan titah Yang di-Pertuan Agong serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, penegasan Istana Negara bahawa perintah pengampunan bersyarat itu jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, selain semua syarat ditetapkan sudah dipenuhi, perlu diambil perhatian oleh pihak bertanggungjawab.

Malah, katanya, peringatan Istana Negara bahawa sebarang hujah mempertikaikan perintah berkenaan menjurus kepada tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong merupakan perkara serius yang tidak boleh diketepikan.

“Lebih penting, penegasan Istana Negara bahawa sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong merupakan suatu peringatan yang amat serius kepada semua pihak, khususnya pihak-pihak yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan serta titah baginda,” katanya dalam kenyataan.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebelum ini dijatuhi hukuman penjara serta denda berhubung kesalahan berkaitan dana SRC International.

Semalam, UMNO mengumumkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib selepas dana berjaya dikumpulkan menerusi kempen sumbangan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas pembayaran itu direkodkan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berasingan memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah wajar ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian dibuat terhadap persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.

Hari ini, Istana Negara menegaskan kuasa pengampunan adalah prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya perlu dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Istana Negara turut menjelaskan semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi dan tidak sepatutnya wujud kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan mengenai pelaksanaannya.

BBerkaitan

Latest articles