KUALA LUMPUR: Kegagalan pembebasan Datuk Seri Najib Razak direalisasikan meskipun denda sudah dibayar dan titah berkaitan tahanan di rumah telah dilaksanakan mengundang kekecewaan Pemuda UMNO yang menyifatkan perkembangan itu sebagai satu bentuk penganiayaan melampau.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar berkata, beliau terkilan apabila penyelesaian yang diharapkan semalam bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu dibebaskan akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Menurutnya, perkembangan itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai pihak yang didakwa menjadi penghalang kepada pembebasan Najib.
Beliau mendakwa, rakyat yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik juga boleh berasa marah dan meluat terhadap segelintir pemimpin yang dilihat sengaja melengah-lengahkan atau tidak mahu membenarkan Najib dibebaskan.
“Ini adalah penganiayaan tahap tertinggi, cukup melampau dan biadab terhadap institusi diraja serta titah Yang di-Pertuan Agong.
“Pada masa sama, ia memperlihatkan keangkuhan dan kesombongan mereka dengan jawatan yang dimiliki,” katanya ketika ditemui pemberita.
Shah Zanuriman turut memberi amaran bahawa tindakan pihak yang didakwa menghalang pembebasan Najib itu tidak akan terlepas daripada penilaian rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri dalam isu berkenaan meskipun ketika ini jentera parti sedang memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sudah mengarahkan semua peringkat Pemuda UMNO di 191 bahagian supaya membuat laporan polis berhubung isu berkenaan bermula pagi tadi.
Beliau berkata, meskipun ratusan laporan polis sudah dikemukakan sebelum ini, pihaknya mahu polis mengambil tindakan susulan dan menjalankan siasatan sewajarnya, bukan sekadar menerima laporan tanpa perkembangan lanjut.
“Kita sudah buat beratus-ratus laporan, tetapi kita harap polis ambil tindakan. Jangan sekadar menerima laporan yang akhirnya berlalu begitu sahaja,” katanya.










