KUALA LUMPUR: Gerakan Media Merdeka (Geramm) menyatakan solidariti bersama hampir 100 pekerja, termasuk wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo!, yang berdepan ketidaktentuan masa depan susulan langkah rasionalisasi oleh Media Mulia Sdn Bhd.
Geramm dalam kenyataan media berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi industri media ketika ini, namun transformasi digital tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengorbankan mata pencarian pekerja.
Menurutnya, pihak pengurusan Media Mulia perlu mengambil iktibar daripada penutupan Utusan Melayu pada 2019 yang menyaksikan ratusan pekerja kehilangan pekerjaan.
“Kami tidak mahu sejarah pahit penutupan Utusan Melayu pada 2019, yang menyaksikan ratusan pekerja kehilangan pekerjaan, berulang,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Geramm turut mengingatkan Media Mulia mengenai peringatan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, supaya syarikat media tidak memberhentikan pekerja secara sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, syarikat media digalakkan tampil berbincang dengan kementerian bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Sehubungan itu, Geramm menggesa Media Mulia mengutamakan rundingan bersama pekerja serta memberikan penjelasan secara telus berhubung masa depan mereka.
Katanya, pihak pengurusan juga perlu meneroka semua pilihan yang ada sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pemberhentian pekerja.
“Legasi sesebuah organisasi media bukan sekadar pada jenamanya, tetapi juga pada pekerja yang membina kredibilitinya.
“Jangan biarkan pekerja media terus membayar harga paling mahal bagi krisis industri yang bukan mereka cipta,” menurut kenyataan itu.










