KUALA LUMPUR: Industri makanan dan minuman tanah air kehilangan seorang tokoh usahawan apabila pengasas rangkaian restoran BananaBro dan Boat Noodle, Tony Lim, dilaporkan meninggal dunia.
Berita pemergian Lim diumumkan menerusi akaun media sosial rasmi kedua-dua jenama berkenaan hari ini, namun umur serta punca kematiannya tidak didedahkan.
Menerusi hantaran di Instagram, BananaBro menyifatkan Lim sebagai individu yang bukan sahaja mempunyai visi besar untuk memperkenalkan nasi daun pisang ke seluruh dunia, malah mencurahkan sepenuh komitmen dalam membangunkan perniagaan itu.
Menurut jenama berkenaan, impian Lim menjadi asas kepada penubuhan BananaBro dan legasinya akan terus hidup menerusi setiap hidangan yang disajikan serta warga kerja yang meneruskan perjuangannya.
“Walaupun beliau tiada lagi bersama kami, impiannya akan terus hidup dalam setiap hidangan daun pisang yang kami sajikan dan setiap insan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Boat Noodle mengenang Lim sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan mentor yang sentiasa meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan pasukannya.
Jenama itu turut menyifatkan prinsip yang diterapkan Lim, termasuk tidak mudah berputus asa, yakin terhadap diri sendiri dan berkembang bersama, sebagai legasi penting yang akan terus menjadi pegangan warga kerjanya.
“Beliau mengajar kami supaya tidak berputus asa, percaya kepada diri sendiri dan paling penting, berkembang bersama.
“Bagi Tony, semua itu bukan sekadar kata-kata, tetapi prinsip yang dipegang dalam kehidupannya,” menurut hantaran di Facebook.
Legasi perniagaan yang dibangunkan Lim turut mencerminkan pengaruhnya dalam industri makanan dan minuman negara apabila Boat Noodle kini mempunyai 49 cawangan, manakala BananaBro mengendalikan lebih 40 cawangan di seluruh negara.










