Calon PN Kesidang Lapor Polis Kenyataan Anthony Loke Pertikai Kuasa Pengampunan Agong Terhadap Najib

MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Kok Boon Chang membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dibuat Albert Kok, di Balai Polis Batu Berendam, pada 11.22 pagi ini.

Menurut laporan polis berkenaan, Kok mendakwa kenyataan Anthony yang dilaporkan portal Malaysiakini pada 1 Nov menerusi tajuk ‘Loke: DAP mahu minta pengampunan Najib’ boleh menimbulkan persepsi bahawa pemimpin parti itu mencabar dan menentang institusi Raja-Raja Melayu, khususnya Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut mendakwa kenyataan berkenaan seolah-olah mempertikaikan pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Kok berkata, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa prerogatif dan budi bicara mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta perlu diakui semua pihak termasuk parti politik.

Beliau turut membangkitkan isu kerahsiaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang menurutnya perlu dihormati, dipelihara dan dilindungi sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa dipengaruhi atau dicampuri mana-mana pihak berkepentingan.

Albert Kok merupakan calon Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang mewakili PN bagi kerusi DUN Kesidang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau bakal berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Allex Seah Shoo Chin daripada Pakatan Harapan (PH-DAP) dan Dr Bryan Kek Kit Hun daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov ini sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 Nov.

BBerkaitan

Latest articles