Kerajaan Akui Sistem AI Pengimbas Kargo Masih Lemah, Mesin Perlu Dinaik Taraf

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui sistem pengimbas kargo berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan di terminal kargo negara masih belum berupaya mengenal pasti objek mencurigakan dengan tepat kerana teknologi berkenaan masih dalam peringkat pembelajaran dan pengumpulan data.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sistem AI yang dipasang pada mesin pengimbas sedia ada masih belum mempunyai data mencukupi untuk mengenal pasti objek tertentu, sekali gus menyebabkan berlaku kesilapan dalam analisis imej.

Beliau berkata, perkara itu dilihat sendiri ketika melakukan lawatan ke terminal kargo Malaysia Airlines (MAS) dan Pelabuhan Klang.

“Terus terang, AI itu masih dalam peringkat pembelajaran. Apabila keluar hasil analisis AI, barang yang dipaparkan dalam imej boleh dikatakan sistem itu belum boleh mengenal pasti item berkenaan kerana masih mengumpul data.

“Semua disimpan di sana, terus teranglah, ini bom, ini bom, ini bom, padahal bukan. Ertinya, data yang ada belum mencukupi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada persidangan Dewan Rakyat berhubung langkah penguatkuasaan dan mekanisme audit bagi memastikan sistem pengimbas kargo tidak dimanipulasi serta mampu mengesan penyeludupan barangan berbahaya (Dangerous Goods).

Hasbi berkata, pihak berkaitan kini sedang mengumpulkan lebih banyak data untuk dimasukkan ke dalam sistem AI bagi meningkatkan ketepatan pengesanan dan membantu pegawai menjalankan pemeriksaan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Malaysia tidak semestinya perlu membangunkan pangkalan data AI dari peringkat awal, sebaliknya boleh mempertimbangkan perkongsian data dengan negara lain yang mempunyai pengalaman serta teknologi lebih maju.

“Kenapa tidak di bawah apa-apa perjanjian, mungkin melalui Kastam, AKPS dan sebagainya dengan negara lain, kita berkongsi data itu.

“Kita tidak perlu mengisi AI itu dari awal, sebaliknya berkongsi data dan pengetahuan yang sudah dimasukkan dalam sistem AI negara berkenaan. Ini boleh mempercepatkan proses tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan mesin pengimbas sedia ada di pelabuhan dan lapangan terbang perlu dinaik taraf supaya seiring dengan perkembangan teknologi keselamatan yang semakin pantas.

Menurutnya, terdapat teknologi pengimbas lebih canggih yang mampu membezakan bahan tertentu seperti dadah dan tepung susu, sekali gus meningkatkan keupayaan pihak berkuasa mengesan barangan terlarang.

“Kenapa tidak kita juga menaik taraf mesin kita? Ada mesin yang boleh membezakan antara dadah dengan tepung susu.

“Harganya mungkin tinggi, tetapi saya rasa pembelian itu berbaloi daripada kita dilihat sebagai mempunyai kelemahan sehingga berlaku kebocoran,” katanya.

Menjawab soalan asal, Hasbi berkata sebanyak 184 unit mesin pengimbas kargo dan bagasi di pintu masuk utama negara sedang melalui proses pemindahan aset dan fungsi pemeriksaan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) secara berperingkat mulai 1 Oktober 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 132 unit dilengkapi teknologi berasaskan AI.

Beliau menjelaskan keberkesanan sistem pengimbas bergantung kepada jenis teknologi, konfigurasi sistem, bekalan data, algoritma, tahap ketepatan pengesanan serta kompetensi pegawai yang mengendalikannya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan teknologi AI hanya berperanan sebagai alat sokongan dan tidak boleh dijadikan satu-satunya asas untuk membuat keputusan pelepasan kargo.

Sebaliknya, keputusan pemeriksaan perlu mengambil kira penilaian imej oleh pemeriksa keselamatan, kaedah pemeriksaan yang diluluskan serta pemeriksaan lanjut sekiranya terdapat imej atau kargo yang mencurigakan.

Hasbi turut memaklumkan Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan beberapa syor penambahbaikan, termasuk penggunaan AI oleh pengendali terminal kargo yang mengendalikan barangan berbahaya.

Selain itu, syor berkenaan turut melibatkan pemerkasaan unit berkaitan barangan berbahaya melalui penambahan pegawai serta penaiktarafan sistem sedia ada.

Beliau berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) juga memberi keutamaan kepada enam langkah segera bagi memperkukuh keselamatan lapangan terbang, termasuk saringan berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi.

Langkah lain merangkumi pengukuhan tapisan keselamatan serta kawalan akses terhadap kakitangan syarikat penerbangan, pengendali darat, vendor dan kontraktor, selain saringan dadah secara pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

Menurutnya, sebanyak 17 syor penambahbaikan telah dikemukakan bagi memperkukuh aspek keselamatan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles