KUALA LUMPUR: Sebanyak 240 permohonan rawatan menggunakan ubat kumpulan Glucagon-Like Peptide-1 Receptor Agonist (GLP-1 RA) bagi pesakit obesiti dan diabetes diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) dari Januari hingga September 2026, melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun tiada peruntukan khusus disediakan di bawah Belanjawan 2026 bagi membiayai rawatan menggunakan ubat berkenaan.
Menurutnya, pesakit yang memerlukan rawatan GLP-1 RA sebelum ini perlu mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan khas melalui mekanisme sedia ada KKM dengan menggunakan peruntukan sedia ada kementerian.
“Untuk rekod, sebanyak 240 permohonan rawatan telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2026, melibatkan kos keseluruhan RM2.56 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai jumlah pesakit obesiti dan diabetes yang menerima rawatan GLP-1 RA serta peruntukan disalurkan kepada fasiliti kesihatan di bawah inisiatif Belanjawan 2026, di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dzulkefly berkata, obesiti bukan sekadar masalah berat badan berlebihan atau penampilan fizikal, sebaliknya merupakan masalah kesihatan awam yang meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes jenis 2, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser.
Beliau berkata, dianggarkan 7.63 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengalami obesiti.
Menurutnya, rawatan menggunakan GLP-1 RA seperti Ozempic dan Mounjaro boleh digunakan bagi pesakit diabetes jenis 2 serta obesiti, tertakluk kepada penilaian klinikal dan keadaan kesihatan individu.
“Rawatan diabetes ini sebenarnya sangat bersifat individu, mengikut kedudukan dan keadaan kesihatan seseorang pesakit.
“Penggunaan GLP-1 perlu berdasarkan penilaian klinikal serta indikasi dan keperluan pesakit,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan obesiti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penggunaan ubat-ubatan, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk perubahan gaya hidup, pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pembedahan bariatrik bagi pesakit yang memenuhi indikasi klinikal.
Katanya, KKM melaksanakan program Multi-Disciplinary Management of Obesity (MIMO) di 33 klinik kesihatan dengan sokongan pakar di 13 hospital kementerian bagi memastikan pesakit mendapat pengurusan berterusan.
Menjawab soalan tambahan Ramkarpal mengenai kemungkinan kerajaan memperluas akses rawatan GLP-1 RA kepada masyarakat umum, Dzulkefly berkata, KKM akan terus mengemukakan permohonan bagi mendapatkan peruntukan khusus untuk rawatan berkenaan.
Beliau berkata, penggunaan ubat kumpulan GLP-1 mempunyai manfaat berdasarkan bukti kajian klinikal, termasuk membantu mengawal diabetes jenis 2, mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular utama seperti serangan jantung dan strok serta memperlahankan perkembangan penyakit buah pinggang kronik.










