MELAKA: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, manakala seorang lagi calon bagi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRN Melaka, di sini, malam tadi.
Lima calon yang diumumkan terdiri daripada wakil PAS, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan GERAKAN, dengan latar belakang profesional, korporat serta kepimpinan masyarakat.
Mereka ialah Rafie Ahmad (PAS) bagi DUN Paya Rumput; Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PAS) bagi DUN Bukit Katil; Dr Mohd Yadzil Yaakub (WAWASAN) bagi DUN Bemban; Datuk Sri Michael Gan Peng Lam (GERAKAN) bagi DUN Ayer Keroh; dan Albert Kok (WAWASAN) bagi satu lagi kerusi yang diumumkan PN.
Rafie, 58, ialah tokoh korporat yang memiliki kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya.
Muhammad Ridzuan, 42, pula ialah pegawai kesihatan persekitaran berkelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM), selain pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kawasan Hang Tuah Jaya dan Bendahari Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Dr Mohd Yadzil, 48, ialah doktor perubatan yang berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban bagi penggal 2021 hingga 2026.
Michael Gan, 66, mempunyai pengalaman dalam bidang korporat, pentadbiran dan politik, selain memegang jawatan Pengerusi GERAKAN Negeri Melaka serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat GERAKAN.
Albert Kok, 58, pula ialah ahli korporat dalam bidang automasi dan peralatan pejabat. Beliau memiliki kelulusan MBA dalam Pengajian Perniagaan serta Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Beliau turut memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian WAWASAN Kota Melaka dan Ahli Majlis Perhubungan WAWASAN Negeri Melaka.
Ahmad Samsuri berkata, satu kerusi masih belum diumumkan berikutan beberapa perkara berkaitan calon yang memerlukan pertimbangan akhir.
“Kita ada satu kerusi yang kita tidak umumkan kerana kita bukan ketandusan calon. Ada beberapa perkara berbangkit berkaitan calon yang perlu kita selesaikan. Sebab itu kita tidak umumkan malam ini,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, PN yakin perkara itu dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon dan menafikan keputusan itu berpunca daripada pertikaian antara parti komponen.
Menurutnya, kerusi berkenaan tetap akan ditandingi PN, namun beliau tidak memperincikan parti komponen yang bakal diwakili calon terbabit.
Mengulas peluang PN pada PRN Melaka, Ahmad Samsuri berkata gabungan itu meletakkan sasaran untuk menang dan yakin jentera pilihan rayanya sedang bergerak ke arah matlamat berkenaan.
“Insya-Allah, kita masuk bertanding untuk menang. Itu perkara paling penting dan saya percaya jentera kita sedang bergerak ke arah itu,” katanya.
Beliau turut yakin kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) mampu membantu mencapai matlamat berkenaan menerusi pendekatan muafakat politik.
Mengenai perkembangan krisis politik di Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri berkata situasi itu tidak akan menjejaskan kerjasama PN dan BN pada PRN Melaka.
Katanya, kerjasama menerusi Muafakat Melaka turut merangkumi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha penyatuan politik, termasuk Muafakat Nasional.
Beliau berkata, pendekatan berkaitan manifesto dan strategi kempen akan diselaraskan sebelum diumumkan kepada umum pada waktu yang bersesuaian.










