KUALA LUMPUR: Seorang cef warga Malaysia ditahan di Mauritius selepas 17.88 kilogram (kg) kanabis yang dianggarkan bernilai RM2.18 juta ditemukan dalam bagasinya sebaik tiba dari Dubai.
Menurut laporan portal media Mauritius, Defi Media, suspek ditahan Jumaat lalu kira-kira jam 3 petang selepas mendarat di negara itu menaiki penerbangan dari Dubai.
Selain dadah berkenaan, pihak berkuasa turut merampas telefon bimbit milik suspek serta wang tunai 8,150 rupee Mauritius, bersamaan kira-kira RM700, selain sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand.
Dalam perkembangan berkaitan, polis dilaporkan cuba mengesan pihak yang dipercayai bakal menerima bekalan dadah itu dengan menggunakan bahan terlarang yang dirampas sebagai umpan dalam satu operasi.
Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal apabila tiada individu tampil untuk mengambil dadah tersebut.
Penahanan itu merupakan kes kedua membabitkan warga Malaysia yang ditahan berkaitan penyeludupan kanabis di Mauritius.
Pada 15 September lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 76 tahun turut ditahan di lapangan terbang sama sebaik tiba dari Kuala Lumpur.
Pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan 6.18kg kanabis yang dianggarkan bernilai 9.27 juta rupee Mauritius, bersamaan kira-kira RM793,000.










