KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh intervensi awal, bantuan bersasar dan program pemulihan akademik bagi menangani keciciran murid serta merapatkan jurang pendidikan antara golongan berpendapatan rendah dengan keluarga berpendapatan tinggi.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata langkah itu merangkumi pengesanan awal murid berisiko cicir, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti keperluan intervensi serta pelaksanaan pelbagai bantuan bagi memastikan murid terus mengikuti pembelajaran.
Beliau berkata sebanyak 1.70 peratus daripada keseluruhan enrolmen murid dikenal pasti berisiko cicir daripada sistem pendidikan.
“Bagi kawasan Parlimen Pasir Gudang, kadar keciciran murid ialah 0.07 peratus, manakala di Daerah Johor Bahru kadar keciciran ialah 0.21 peratus.
“Bagi kadar murid berisiko cicir pula di Parlimen Pasir Gudang ialah 1.59 peratus dan di Daerah Johor Bahru ialah 1.72 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tuan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai tindakan kerajaan menangani jurang pendidikan antara anak keluarga miskin dengan golongan berpendapatan tinggi, termasuk isu kemiskinan pembelajaran yang didakwa membabitkan kira-kira 42 peratus murid berusia 11 tahun.
Fadhlina berkata KPM turut memperkukuh Sistem Pengesanan Keciciran Pendidikan Malaysia (SiPKPM) menerusi pembangunan Modul Intervensi Murid Cicir dan Murid Berisiko Cicir berintegrasikan teknologi AI.
Menurutnya, modul itu menganalisis data murid termasuk corak kehadiran, pencapaian akademik, rekod disiplin dan latar belakang sosioekonomi keluarga bagi mengenal pasti murid berisiko tinggi.
“Berdasarkan analisis tersebut, sistem akan mengesyorkan intervensi yang bersesuaian supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih awal, tepat dan bersasar, sekali gus membantu murid terus kekal dalam sistem pendidikan,” katanya.
Bagi mengurangkan kesan kekangan sosioekonomi terhadap pembelajaran dan kehadiran ke sekolah, beliau berkata KPM meneruskan pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.
KPM turut menyediakan peranti digital berdasarkan data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan, termasuk pembelajaran digital.
Dalam usaha memperluas akses pendidikan, katanya, Program Sekolah Komprehensif K9 dan Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 dilaksanakan di kawasan yang menghadapi cabaran akses pendidikan.
Selain itu, program intervensi akademik berfokus seperti Program Anak Kita 3M, dengan kerjasama Unit Pantau MADANI, serta Tuisyen MADANI Yayasan Albukhary turut disediakan khususnya untuk murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menyentuh usaha menangani kelemahan penguasaan asas pembelajaran, Fadhlina berkata KPM melaksanakan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan penguasaan awal literasi dan numerasi melalui aktiviti bermain, penggunaan bahan konkrit serta pendekatan Pembelajaran Bersepadu.
Usaha itu turut disokong menerusi sesi Baca Bersama selama 30 minit setiap minggu bagi membantu murid menguasai dan mengaplikasikan kemahiran literasi serta numerasi dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata murid Tahun Dua hingga Tahun Enam yang masih belum menguasai kemahiran asas pula diberikan bimbingan berfokus melalui Program Pemulihan Khas dan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN).
“Analisis tren pencapaian PLaN menunjukkan bilangan sekolah dalam kategori rendah dan sederhana telah menurun daripada 186 buah pada akhir 2024 kepada 78 buah pada akhir 2025,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, KPM turut memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran asas pada peringkat awal sebelum murid beralih kepada pembelajaran lebih kompleks.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menetapkan Sasaran Wajib Capai bagi memastikan semua murid menguasai kemahiran literasi dan numerasi menjelang akhir Tahap I.
“KPM yakin gabungan intervensi awal, sokongan bersasar kepada murid berisiko, pengukuhan akses pendidikan dan penambahbaikan kurikulum secara berterusan akan membantu mengurangkan kemiskinan pembelajaran serta memastikan setiap murid mendapat peluang pendidikan yang berkualiti,” katanya.










