PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang terlalu mudah melabel individu lain sebagai munafik, malah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana perbezaan pandangan.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam memahami agama, malah bertentangan dengan akhlak dan keperibadian yang sepatutnya menjadi pegangan umat Islam.
Menurutnya, masalah berkenaan perlu ditangani melalui pengukuhan ilmu, kesedaran serta pemahaman Islam yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan kecenderungan menghukum orang lain secara melulu.
“Belajar agama sedikit, terus menghukum dan menjadi takfiri. Terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang,” katanya, lapor Kosmo ketika berucap pada satu majlis di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Anwar berkata, usaha memperkukuh kefahaman Islam turut menjadi antara pertimbangan kerajaan dalam merangka belanjawan negara, termasuk menghidupkan semula institusi pondok.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal apabila usaha memperkasakan pendidikan dan penghayatan Islam itu masih dipersoalkan sehingga mencetuskan tuduhan terhadap kepemimpinan kerajaan.
“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kefahaman agama tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan hukuman terhadap orang lain, sebaliknya perlu disertai ilmu dan akhlak yang baik.










