PRU16: Samsuri Tak Gopoh Rebut Kerusi PM, Kemenangan PN Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) belum mahu mendahului masa dalam menentukan calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai keutamaan sebelum memutuskan siapa yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata soal calon Perdana Menteri belum dibincangkan secara serius dan keputusan mengenainya akan dibuat oleh kepimpinan gabungan apabila tiba masanya.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau bersedia menggalas jawatan tertinggi negara sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU16.

“Kami belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Kita akan membincangkannya apabila tiba masanya,” katanya pada sidang media sempena SG4 Business & Economic Forum 2026.

Mengulas kemungkinan dirinya dipilih sebagai calon Perdana Menteri, Samsuri, yang lebih dikenali sebagai Dr Sam, berkata beliau sukar memberikan jawapan secara langsung, namun setiap individu perlu bersedia menerima amanah sekiranya diberikan tanggungjawab berkenaan.

Katanya, kesediaan menghadapi cabaran merupakan perkara penting sekiranya seseorang diberikan kepercayaan untuk memikul tanggungjawab besar.

“Jika diberikan peluang atau tanggungjawab, kita perlu bersedia menerima apa-apa cabaran dan bersikap terbuka terhadapnya,” katanya.

Isu calon Perdana Menteri PN kembali menjadi perhatian menjelang PRU16, dengan terdapat gesaan supaya PAS, yang menjadi tonggak utama gabungan itu, menamakan calon lebih awal bagi memperjelas hala tuju politik mereka kepada pengundi.

Selain Samsuri, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin, turut disebut oleh penganalisis politik sebagai antara individu berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri PN.

Malah, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, bulan lalu meramalkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya BN dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU16.

Dalam perkembangan sama, Samsuri mengakui tiada pihak boleh menjamin kemenangan pada PRU16, sama ada kerajaan yang memerintah mahupun parti pembangkang.

Bagaimanapun, beliau mendakwa PN mempunyai peluang lebih baik untuk mengambil alih Putrajaya berbanding PRU15 berdasarkan penilaian angka, data serta kajian oleh ahli sains politik dan penyelidik.

Menurutnya, peluang itu lebih cerah sekiranya pilihan raya berlangsung dalam keadaan adil dengan semua pihak mempunyai ruang persaingan yang seimbang.

“Kami mempunyai peluang lebih baik sekiranya wujud padang permainan yang sama rata,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles