Suami Pegawai AKPS Didakwa Bunuh Isteri Di Kuarters Kerajaan

SEREMBAN: Suami kepada seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters kerajaan di Nilai, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, 15 Oktober lalu.

Tertuduh, Khairudin Safi’ai, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Khairudin didakwa membunuh isterinya, Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kelompok 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7 malam pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat.

Terdahulu, Norhazwani dilaporkan ditemukan maut di unit kuarters berkenaan sebelum suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain mengalami kecederaan tikaman di bahagian tepi perut dan pipi.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa dikatakan menyuarakan hasrat untuk bercerai.

Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun.

Sementara itu, semakan polis mendapati tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau, merangkumi 10 kes berkaitan narkotik serta enam kes membabitkan pecah rumah, mencuri dan memiliki barang curi.

BBerkaitan

Latest articles