KOTA BHARU: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memilih untuk berunding dengan pihak lain secara berasingan perlu mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan itu, tegas Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Pembangkang itu berkata, parti yang kekal bersama PN sewajarnya mematuhi keputusan kepimpinan dan tidak menjalankan rundingan politik, khususnya berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya, secara bersendirian.
Menurutnya, segala perbincangan berhubung perkara itu perlu disalurkan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kalau kita dah tak suka pada kapten itu dan nak buat sendiri, kita keluar daripada pasukan. Baru betul,” katanya pada sidang media di Kelantan.
Kenyataan itu hadir ketika timbul spekulasi Bersatu mungkin menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, termasuk dakwaan kerusi Bemban akan diberikan kepada parti itu menerusi pakatan PH Plus.
Pada masa sama, PN dilaporkan bersetuju bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi PRN Melaka, namun pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berasingan, Hamzah mempertahankan tindakan Takiyuddin membangkitkan isu pematuhan peraturan Bersatu dalam urusan mesyuarat gabungan itu.
Beliau berkata, tindakan berkenaan merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan pengurusan PN mematuhi perlembagaan dan undang-undang, sambil menegaskan Bersatu perlu menyelesaikan isu terbabit agar tidak menjejaskan keseluruhan gabungan.










