KUALA LUMPUR: Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan terus dipertikaikan apabila Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar bersama empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang negeri mempertahankan tindakan barisan itu meneruskan pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan malam tadi, mereka mendakwa pembatalan pelantikan Exco pada 20 September lalu tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan, berikutan dakwaan mereka bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika keputusan itu dibuat.
Mereka turut mendakwa kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar terjejas selepas satu proklamasi terdahulu yang dikemukakan oleh individu yang mengaku sebagai Undang dikatakan diterima untuk dilaksanakan oleh barisan Exco.
Sehubungan itu, mereka menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri dan mahu pentadbiran diteruskan seperti biasa.
“Kami dengan ini mengurniakan limpah perkenan kepada Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar dan barisan Exco… untuk terus mengemudi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, pendirian itu berbeza daripada penjelasan institusi negeri sebelum ini yang menegaskan bahawa keputusan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
Pelantikan 10 Exco berkenaan dibatalkan selepas mereka mengeluarkan kenyataan menyokong pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
Tindakan itu didakwa melanggar sumpah jawatan mereka, manakala pembatalan pelantikan tersebut diwartakan pada 24 September lalu.
Tujuh daripada mereka ialah wakil UMNO, iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi); Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi membabitkan wakil MCA, Siow Kong Choon (Chennah); Mohd Fairuz Mohd Isa daripada PAS (Serting); serta Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) daripada WAWASAN.
Sebelum ini, Dewan Undangan dan Keadilan Negeri Sembilan menjelaskan bahawa keputusan Exco berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu berada di luar bidang kuasa pentadbiran kerajaan negeri.
Setiausaha Raja, Norazli Raja Nordin, berkata urusan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan jawatan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang, tertakluk kepada bidang kuasa yang ditetapkan di bawah Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara sebelum ini memberikan pandangan awal bahawa proklamasi bertarikh 19 April lalu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat mandatori seperti diperuntukkan dalam Perkara 10 UUTKNS.










