KUALA LUMPUR: Caltex Malaysia sedang menjalankan siasatan berhubung isu kualiti bahan api petrol RON95 yang dilaporkan berlaku baru-baru ini, dengan kerjasama rapat pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam satu kenyataan, Caltex Malaysia memaklumkan bahawa sampel bahan api telah diambil daripada pelbagai peringkat pengendalian di sepanjang rantaian bekalannya sebagai sebahagian daripada prosedur pematuhan dan kawalan kualiti syarikat.
Selain itu, sampel turut diperoleh daripada kenderaan yang terjejas susulan aduan yang diterima.
Menurut syarikat itu, semua sampel berkenaan telah dihantar ke makmal bertauliah untuk menjalani ujian mengikut piawaian industri yang diiktiraf.
“Semua sampel kini sedang menjalani ujian. Memandangkan penilaian ini melibatkan proses pengujian yang menyeluruh, masa tambahan diperlukan bagi melaksanakannya dengan berkesan,” menurut kenyataan tersebut.
Caltex Malaysia turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan akan terus berusaha menyelesaikan isu itu dengan teliti.
Syarikat berkenaan juga merakamkan penghargaan kepada pelanggan atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan tersebut, keputusan ujian makmal dan punca sebenar isu kualiti bahan api itu masih belum dimuktamadkan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Caltex Malaysia di talian 1800-88-3168 atau melalui e-mel [email protected].










