JHEAIPP Siasat 20 Pekerja Islam Sertai CSR Bersihkan Kuil

GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang menyiasat penglibatan 20 kakitangan sebuah hotel beragama Islam dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan kerja pembersihan di sebuah kuil di Jalan Dato Keramat.

JHEAIPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial pada 8 Oktober lalu itu, khususnya berkaitan bentuk tugasan yang dilakukan pekerja Islam serta sensitiviti agama yang perlu dipelihara.

Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan hotel pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan program, arahan kerja dan penglibatan kakitangan beragama Islam.

Menurut jabatan itu, pihak hotel memberikan kerjasama baik sepanjang sesi berkenaan.

Sebagai langkah susulan, JHEAIPP akan memberikan bimbingan khusus kepada pekerja terbabit mengenai pemeliharaan akidah, batas penglibatan di rumah ibadat bukan Islam serta pematuhan hukum syarak.

Jabatan itu turut merancang mengadakan program advokasi bersama pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kefahaman serta mengelakkan kejadian sama berulang.

JHEAIPP menjelaskan, berdasarkan pandangan hukum Mufti Pulau Pinang pada 12 Oktober lalu, penglibatan orang Islam dalam kerja pembersihan yang secara langsung menyelenggara ruang pemujaan dan kemudahan khusus untuk ibadat agama lain adalah haram, termasuk membersihkan patung sembahan, altar dan peralatan ritual.

Bagaimanapun, JHEAIPP menegaskan pihaknya menyokong aktiviti CSR yang membawa manfaat kepada masyarakat, dengan syarat pelaksanaannya menghormati sensitiviti agama dan tidak melanggar hukum syarak.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukuman terhadap individu terbabit sebelum penelitian pihak berkuasa selesai.

JHEAIPP berkata, pendekatan pendidikan, advokasi dan pemantauan akan diteruskan, termasuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya perlu, demi memelihara kesucian Islam serta keharmonian masyarakat berbilang agama.

BBerkaitan

Latest articles