KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Indonesia serta menuntut ganti rugi sekiranya Jakarta terus menolak bantuan antarabangsa bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berkata krisis jerebu berulang itu tidak boleh terus dibiarkan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah mengganggu persekolahan dan menjejaskan pendapatan pekerja sektor gig.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, beliau mendakwa kebakaran hutan dan tanah di Indonesia semakin serius tahun ini, dengan kawasan terjejas dilaporkan mencecah 300,000 hektar, iaitu 70 peratus lebih luas berbanding 2023.
Lim turut mempersoalkan keputusan Indonesia yang dilaporkan enggan meneruskan bantuan antarabangsa daripada Jepun serta belum menerima tawaran bantuan negara lain, termasuk Malaysia.
Beliau berkata, alasan Indonesia mampu menangani kebakaran itu sendiri perlu dinilai berdasarkan kesan sebenar krisis yang turut dirasai negara jiran.
Bagi mengelakkan masalah sama terus berulang, Lim mencadangkan Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia menubuhkan pasukan khas ASEAN bagi menangani kebakaran hutan dan tanah secara tetap.
Menurutnya, pasukan itu perlu mempunyai anggota penyelamat yang bersiap siaga sepanjang tahun supaya tindakan segera dapat diambil apabila kebakaran berlaku.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia perlu mempertimbangkan tuntutan ganti rugi melalui saluran perundangan sekiranya Indonesia terus menolak penubuhan pasukan berkenaan atas alasan kedaulatan negara.
Desakan itu menyusul gesaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, supaya Putrajaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap Jakarta berhubung pencemaran udara rentas sempadan yang berlarutan sejak berdekad lalu.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, sebelum ini berkata cadangan undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan perlu dinilai dari segi keberkesanan, implikasi diplomatik, beban pembuktian dan kebolehkuatkuasaannya.
Penilaian itu penting bagi memastikan sebarang langkah perundangan yang dipertimbangkan mampu dilaksanakan dan berkesan dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.










