Chong Chieng Jen Digantung Baki Sidang DUN Sarawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, digantung daripada menghadiri baki persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas usul yang mendakwa beliau mengelirukan Dewan dan melanggar tatatertib ketika perbahasan Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan hari ini.

Dayak Daily melaporkan, usul berkenaan dibentangkan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin, dan disokong Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap ADUN Kakus, Datuk Seri John Sikie Tayai.

Usul itu mendapat sokongan 62 ADUN, manakala seorang menentang dan seorang lagi berkecuali.

Chong, yang juga Ketua DAP Sarawak, didakwa sengaja mengelirukan Dewan pada 13 Oktober lalu berhubung dokumen belanjawan negeri, selain melakukan beberapa tindakan tidak wajar ketika perbahasan pada hari berikutnya.

Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah beliau berulang kali membuat kenyataan yang tidak dapat dibuktikan, menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan serta menghina ADUN lain dengan mengaitkan mereka dengan motif tidak wajar.

Ketika membentangkan usul itu, Lee merujuk kenyataan Chong pada 13 Oktober yang mempersoalkan kebolehpercayaan dokumen Belanjawan Sarawak 2027 susulan kesilapan penomboran halaman.

Chong dilaporkan mempersoalkan sejauh mana angka terperinci dalam dokumen belanjawan boleh dipercayai sekiranya kesilapan asas seperti penomboran halaman boleh berlaku.

Lee turut merujuk teguran Yang Dipertua DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar, pada 14 Oktober yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai “tidak wajar dan berniat jahat”.

Menurut petikan Hansard yang dibacakan, Asfia menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 32(12) menganggap tindakan sengaja mengelirukan Dewan sebagai pelanggaran peraturan atau penghinaan terhadap Dewan.

Selain itu, usul berkenaan turut membangkitkan kenyataan Chong yang mempersoalkan tindakan Yang Dipertua Dewan ketika mengendalikan perbahasan, termasuk mempersoalkan masa yang digunakan serta meminta beliau berlaku adil.

Chong juga didakwa menggunakan ungkapan “Kota Sentosa berhalusinasi” ketika merujuk ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap, susulan pertikaian mengenai dakwaan berlakunya perbuatan jenayah.

Lee menegaskan bahawa peraturan mesyuarat bukan bertujuan menyekat perbezaan pandangan, sebaliknya memastikan perbahasan berlangsung secara tertib dan maruah institusi DUN terus dipelihara.

Beliau berkata setiap wakil rakyat berhak menyuarakan pandangan, mengemukakan pertanyaan, membantah serta mengkritik kerajaan, namun kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan menghormati kewibawaan Yang Dipertua Dewan.

Menurutnya, setiap ADUN juga perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan atau membuat tuduhan dalam persidangan.

BBerkaitan

Latest articles