IPOH: Setiap negeri perlu menterjemahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kepada pelan tindakan berdasarkan risiko setempat bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan tindakan itu perlu menetapkan tanggungjawab agensi berkaitan serta sasaran pelaksanaan yang jelas bagi memastikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.
Menurutnya, usaha mengurangkan risiko bencana perlu dimulakan sejak peringkat perancangan guna tanah dan pembangunan, bukannya hanya memberi tumpuan kepada tindakan menyelamat serta bantuan selepas sesuatu musibah berlaku.
“Justeru, saya mahu setiap negeri menterjemahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kepada pelan tindakan mengikut risiko setempat dengan tanggungjawab agensi dan sasaran pelaksanaan yang jelas.
“Dasar ini mesti benar-benar menghasilkan perlindungan yang menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini.
Ahmad Zahid berkata, risiko bencana seperti banjir boleh terbentuk sejak bertahun-tahun lebih awal akibat pembangunan yang tidak mengambil kira aliran air, sistem saliran yang tidak seiring dengan pertumbuhan bandar serta penempatan di kawasan berisiko.
Justeru, katanya, keputusan berkaitan pembangunan pada masa kini perlu mengambil kira kesannya terhadap keselamatan penduduk pada masa hadapan, terutama ketika negara berdepan perubahan iklim dan pemanasan global.
Beliau berkata, pengurangan risiko bencana perlu melibatkan perancangan guna tanah, pembangunan bandar, pengurusan sungai serta pemantauan kawasan cerun yang berisiko mengalami tanah runtuh.
Menurutnya, kerjasama antara agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) penting bagi membolehkan tindakan pencegahan dan pembaikan infrastruktur dilaksanakan lebih awal.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kerugian akibat bencana di negara ini sebanyak RM636.9 juta pada 2025, termasuk RM380.2 juta melibatkan aset awam dan infrastruktur.
Beliau berkata, jumlah itu menurun berbanding RM933.4 juta pada 2024, namun kesan bencana tetap dirasai oleh mangsa yang kehilangan kediaman, sumber pendapatan dan harta benda.
“Sebaliknya, kesiapsiagaan mesti melindungi dua nilai penting, iaitu nilai kehidupan dan nilai ekonomi.
“Benar, kita mahu menyelamatkan nyawa, di samping melindungi kediaman, menyantuni soal mata pencarian dan hasil usaha rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan sistem amaran awal yang mampu menyampaikan maklumat tepat pada masanya, mudah difahami dan disusuli tindakan segera oleh agensi berkaitan serta masyarakat.
Katanya, pembangunan sistem penyiaran amaran melalui telefon bimbit atau cell broadcast system oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga berupaya membantu menyampaikan amaran terus kepada penduduk di kawasan berisiko tanpa menggunakan data peribadi mereka.
Beliau berkata, negara dijangka berdepan cabaran Monsun Timur Laut 2026-2027 yang berpotensi menyebabkan banjir di beberapa kawasan dikenal pasti, selain risiko cuaca panas dan kering susulan fenomena El Nino.
Sehubungan itu, beliau meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama kementerian dan agensi berkaitan menyelaras persediaan lebih awal supaya tindakan dapat dilaksanakan secara teratur.
Ahmad Zahid turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM260 juta kepada NADMA bagi memperkukuh pengurusan bencana negara.
Selain itu, kadar bantuan pembaikan rumah bagi keluarga terjejas akibat banjir turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 bagi membantu mangsa membaiki kediaman dan memulihkan kehidupan mereka.










