Belanjawan 2027 Ringankan Beban M40, Gaji Minimum Naik RM2,000

KUALA LUMPUR: Kenaikan had pelepasan cukai individu dan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 antara langkah dalam Belanjawan 2027 yang disifatkan mampu membantu meringankan tekanan kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana (M40).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata golongan M40 berdepan cabaran untuk meningkatkan lebihan pendapatan dan kuasa beli berikutan komitmen perbelanjaan yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan menerusi belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam bagi membantu mengurangkan beban kewangan kumpulan berkenaan.

“Selama ini dari segi lebihan pendapatan itu, dan dari segi kuasa beli, mereka (golongan M40) agak tertekan disebabkan komitmen yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Bangunan Parlimen.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kenaikan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, iaitu kadar yang tidak disemak sejak 2010, sekali gus memberikan ruang kelegaan kepada pembayar cukai, termasuk golongan M40.

Zahid turut menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027.

Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan graduan dan pekerja berkemahiran melalui pemberian gaji premium, yang dilihat dapat membuka ruang lebih baik kepada tenaga kerja berkelayakan.

“Begitu juga untuk gaji para graduan dan mereka yang berkemahiran diberikan gaji premium, dan ini merupakan satu perubahan yang pada hemat saya sangat disambut baik oleh para graduan dan juga mereka yang berkelulusan kemahiran,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada peningkatan eksport negara menerusi pembangunan PMKS dan pengukuhan keupayaan usahawan tempatan.

Katanya, usaha berkenaan akan diselaraskan dengan peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Usahawan bagi mempergiat usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

Mengulas peruntukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Zahid merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan RM12.68 bilion bagi 2027, meningkat RM281.08 juta atau 2.27 peratus berbanding RM12.40 bilion tahun ini.

Beliau berkata, program sedia ada dan inisiatif berimpak tinggi akan terus diberi perhatian, termasuk program pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli.

Dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peruntukan disediakan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh latihan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, Majlis TVET akan memberi tumpuan kepada bidang berkemahiran tinggi, termasuk robotik, selain memperkenalkan kursus bersesuaian bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Melalui Majlis TVET, kita akan memberikan tumpuan kepada ‘high TVET’ dan kita memberikan tumpuan kepada soal robotik yang memberikan peluang pekerjaan dan kita akan menambah kursus-kursus bersesuaian untuk meningkatkan kebolehpasaran (graduan),” katanya.

Selain pembangunan modal insan, Zahid berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan prasarana luar bandar dan pengembangan industri halal pada tahun depan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat.

BBerkaitan

Latest articles