KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027 bagi memperkukuh perlindungan kepada individu yang berdepan masalah kewangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu antara tiga inisiatif Belanjawan MADANI 2027 bagi memperkukuh Dasar Peluang Kedua susulan kejayaan membantu lebih 250,000 rakyat keluar daripada kebankrapan sejak 2023.
Menurutnya, dasar berkenaan turut diperluas kepada penjaga utama ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan individu berpendapatan tidak tetap.
“Kerajaan turut memperkasa pelepasan automatik seawal tiga tahun di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 bagi individu yang memenuhi syarat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Azalina berkata, Belanjawan MADANI 2027 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan MADANI untuk memperkukuh reformasi undang-undang dan institusi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Beliau turut menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia yang disifatkan sebagai langkah penting untuk melaksanakan reformasi perundangan secara menyeluruh dan berterusan.
Katanya, inisiatif itu merangkumi usaha mengenal pasti undang-undang lapuk, menangani jurang perundangan serta memodenkan undang-undang berkaitan kontrak, jualan barangan dan pengantaraan.
Beliau berkata, komitmen reformasi turut diteruskan menerusi pengembalian autonomi Parlimen selepas lebih tiga dekad, pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pengenalan PMQT.
Selain itu, pembaharuan undang-undang dilaksanakan bagi memperkukuh hak asasi, perlindungan rakyat dan akses kepada keadilan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, reformasi paling bermakna ialah keberanian kerajaan untuk membatasi kuasanya sendiri sambil menghormati proses demokrasi berparlimen.
Menurutnya, walaupun usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri belum memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam penelitian, tekad kerajaan untuk meneruskan reformasi berkenaan kekal utuh.
Dalam aspek kebajikan haiwan, beliau turut menghargai langkah memperluas pelepasan cukai gaya hidup bagi kos pemandulan dan pengambilan haiwan peliharaan daripada pusat berdaftar, sekali gus menggalakkan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.
Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, Azalina turut menyambut baik pemilikan penuh Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS bagi memperkukuh keterjaminan bekalan bahan api negara.
Katanya, pembangunan Pengerang Biorefinery bersama Enilive, Eni dan Euglena bagi menghasilkan bahan api rendah karbon termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF), minyak sayuran terhidrogenasi (HVO) dan bio-nafta turut membuka peluang ekonomi serta pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata, Belanjawan MADANI 2027 membuktikan reformasi bukan sekadar mengubah undang-undang dan institusi, sebaliknya membawa manfaat nyata kepada rakyat serta masa depan negara.










