Belanjawan 2027: Peminjam PTPTN Berpendapatan Bawah RM2,500 Tangguh Bayaran Balik

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan bulanan RM2,500 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik pinjaman sepanjang 2027, manakala mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 hanya perlu membayar minimum RM50 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam PTPTN, sekali gus membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

“PTPTN ialah penyelamat anak bangsa yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke menara gading,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan konsisten membuat bayaran balik pinjaman.

Insentif berkenaan bertujuan menggalakkan peminjam memenuhi tanggungjawab pembayaran balik secara teratur.

Selain insentif kepada peminjam, kerajaan turut memperkenalkan potongan cukai kepada majikan yang membantu membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing.

Anwar berkata, kemudahan potongan cukai itu meliputi bayaran balik yang dibuat dalam tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Sementara itu, berdasarkan maklumat di laman rasmi PTPTN, peminjam lazimnya perlu memulakan pembayaran balik 12 bulan selepas tamat tempoh pinjaman, tanpa perlu menunggu notis daripada pihak berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles