RUU Entiti Milik Kerajaan Digubal, Elak Skandal 1MDB Berulang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tadbir urus syarikat milik kerajaan dan badan berkanun, sekali gus mengelakkan penyelewengan serta salah urus dana dan aset rakyat seperti yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata undang-undang baharu itu bertujuan memastikan entiti yang diamanahkan mengurus wang dan aset rakyat beroperasi dengan tatakelola lebih ketat serta bertanggungjawab.

“RUU Entiti Milik Kerajaan akan digubal bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanah mengurus wang dan aset rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda reformasi kerajaan MADANI yang memasuki tahun kelima pentadbiran.

Dalam usaha memastikan dana awam digunakan mengikut tujuan asal, beliau turut menetapkan semua kutipan bayaran balik pinjaman yang dibiayai kerajaan dan disalurkan terus kepada badan berkanun Persekutuan mesti digunakan semula hanya untuk tujuan serta kumpulan sasaran yang diluluskan.

Ketetapan itu meliputi pinjaman pendidikan dan perniagaan, termasuk hasil faedah yang dijana daripada dana berkenaan.

Beliau berkata dasar sedia ada turut melarang kutipan bayaran balik pinjaman digunakan untuk menampung kos operasi badan berkanun atau membiayai program lain di luar kelulusan asal.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan meningkatkan ketelusan proses perolehan melalui pendedahan maklumat projek, termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak, susulan penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan mulai 2027.

Langkah itu dijangka memperluas akses kepada maklumat perolehan kerajaan, sekali gus membolehkan penggunaan dana awam dipantau dengan lebih telus.

Sementara itu, kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi mempercepat pelaksanaan projek bekalan elektrik serta capaian internet di kawasan luar bandar.

Antara pendekatan yang dirancang ialah melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi melalui gabungan dana kerajaan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, kerajaan turut memperuntukkan RM1.1 bilion untuk meningkatkan operasi beberapa agensi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

BBerkaitan

Latest articles