JPN Kedah Pantau Rapat Insiden Libatkan Murid Di Kulim Bandar Baharu

KULIM: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memantau rapat perkembangan insiden melibatkan seorang murid Tingkatan Satu di sebuah sekolah di daerah Kulim Bandar Baharu.

JPN Kedah dalam kenyataan pada Selasa berkata, murid berkenaan kini dilaporkan sedar dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di hospital.

“JPN Kedah amat simpati dengan kejadian yang menimpa murid berkenaan dan mendoakan agar dia diberikan kesembuhan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu mengambil tindakan segera termasuk menghubungi waris serta membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Pihak sekolah dan PPD turut menyediakan sokongan psikososial kepada murid, keluarga dan rakan-rakan yang terkesan,” katanya.

JPN Kedah turut mengambil maklum dapatan awal siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa murid berkenaan dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik.

Bagaimanapun, siasatan masih berjalan dan JPN Kedah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, JPN Kedah memandang serius aspek kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik supaya peka terhadap sebarang perubahan emosi dalam kalangan anak-anak.

“Dapatkan bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.

JPN Kedah memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan sokongan bersesuaian diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan.

BBerkaitan

Latest articles