KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mencabar Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng supaya mendedahkan rekod kehadiran serta pendiriannya dalam mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), termasuk keputusan berkaitan projek kontroversi di kawasan itu.
Cabaran itu dibuat susulan kritikan Ng terhadap kehadiran Lee dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT), yang didakwa tidak konsisten meskipun beberapa isu berkepentingan penduduk dibincangkan.
Lee menegaskan, Ahli Parlimen bukan anggota MBPJ dan hanya dijemput menghadiri mesyuarat sebagai pemerhati tanpa hak mengundi atau kuasa meluluskan kertas kerja.
Katanya, tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat lebih tertumpu kepada membawa suara penduduk Petaling Jaya ke peringkat Persekutuan menerusi Dewan Rakyat, jawatankuasa Parlimen dan penglibatan dengan kementerian.
Sebaliknya, beliau berkata, ahli majlis dilantik untuk menghadiri, meneliti, membahaskan serta mengundi perkara yang dibentangkan dalam mesyuarat MBPJ.
Justeru, Lee meminta Ng menjelaskan rekod kehadirannya sendiri dalam mesyuarat penuh majlis dan jawatankuasa, selain menyatakan pendirian serta rekod undiannya berhubung cadangan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).
Beliau turut mempersoalkan sama ada MBPJ sudah meluluskan atau menandatangani perjanjian bagi skim Selangor Intelligent Parking dan sama ada Ng pernah membantah atau merekodkan pendirian tidak bersetuju terhadap pelaksanaannya.
Lee juga menggesa Ng menyatakan pendirian rasmi PKR mengenai kedua-dua projek berkenaan serta cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan ‘mafia korporat’.
Menurutnya, rekod pendiriannya dalam isu terbabit sudah diketahui umum, termasuk bantahan terhadap skim parkir pintar dan gesaan supaya konsesi PJD Link ditamatkan.
“Rakyat Petaling Jaya, dan anggota PKR sendiri, berhak mendapat jawapan. Jika parti mempunyai pendirian yang jelas, nyatakan.
“Jika tidak, maka masalahnya bukan kerana saya bersuara. Masalahnya ialah parti telah berdiam diri,” katanya.
Beliau menegaskan, kehadiran dalam mesyuarat semata-mata tidak membawa makna sekiranya projek yang dipersoalkan tetap diteruskan tanpa sebarang bantahan.
Terdahulu, Ng mengkritik Lee kerana didakwa tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat PBT berkaitan isu penduduk setempat, termasuk perbincangan mengenai mitigasi banjir dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ).
Ng menyifatkan RTPJ sebagai proses penting yang menentukan hala tuju pembangunan bandar itu, merangkumi penggunaan tanah, aliran trafik, kemudahan awam dan perancangan masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Lee yang menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya selama satu penggal, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya susulan penggantungan keahlian PKR selama tiga tahun.
Beliau mendakwa tindakan penggantungan itu mungkin berkait dengan kelantangannya membangkitkan beberapa isu, termasuk Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), pengambilan pekerja asing, kemasukan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke universiti serta garis panduan Selangor berkaitan rumah ibadat bukan Islam.
Lee turut memaklumkan perancangannya untuk meninggalkan PKR pada Isnin ini selepas hubungan dengan kepimpinan parti semakin tegang susulan kehadirannya pada pelancaran Bersama, Mei lalu.










