SHAH ALAM: Pemimpin politik di Selangor diingatkan supaya menghentikan persengketaan, pertelingkahan dan perebutan kuasa yang boleh mencetuskan perpecahan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
Titah tegas itu disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan bahawa kepentingan rakyat mesti sentiasa diletakkan di hadapan berbanding kepentingan peribadi atau agenda kelompok politik.
Baginda bertitah, perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan kerjasama, khususnya dalam memastikan kemajuan negeri serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” titah baginda menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa kemajuan Selangor bukan hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya perlu disertai keharmonian masyarakat serta kestabilan pentadbiran.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua pemimpin supaya mengekalkan sikap saling menghormati dan mengutamakan perbincangan secara matang serta membina bagi menyelesaikan sebarang perbezaan.
Baginda turut menegaskan bahawa segala usaha kepimpinan perlu difokuskan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat dan pembelaan terhadap golongan yang memerlukan perhatian.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat bersama-sama rakyat jelata sebelum berkesempatan bertemu dan bersantap dengan dua bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Mohamad Khir Toyo dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut hantaran itu, pertemuan berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan baginda terhadap hala tuju negeri dan kehidupan rakyat, selain memperlihatkan hubungan baik antara institusi diraja dengan kepimpinan pentadbiran negeri, termasuk bekas pemimpin yang pernah memegang amanah pemerintahan.










