KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Kasim mengambil keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Larry Sng, sekali gus menandakan langkah pertama beliau menyertai mana-mana parti politik.
Keputusan itu dibuat dengan syarat kebebasan untuk menyuarakan pandangan serta mempertahankan prinsip dan pendirian peribadinya terus dihormati parti berkenaan.
Siti berkata, beliau sebelum ini memilih untuk kekal di luar parti politik kerana tidak mahu terikat dengan sebarang kepentingan yang boleh membataskan kebebasannya bertindak mengikut hati nurani.
Bagaimanapun, beliau bersetuju menyertai PBM selepas kepimpinan parti itu memberikan jaminan untuk menghormati kebebasan tersebut.
“Saya akan kekal bebas untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan perkara yang saya yakini. Prinsip dan suara saya bukan sesuatu yang sanggup saya korbankan demi keahlian politik.
“Menyertai parti tidak bermakna saya memberi sesiapa kebebasan untuk berbuat sesuka hati. Saya akan terus bersuara menentang ketidakadilan dan meminta mereka yang berkuasa bertanggungjawab, termasuk mereka yang berada dalam pihak saya sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan penyertaannya dalam PBM tidak akan mengubah pendirian untuk terus memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli, kebebasan berperlembagaan, kesamarataan serta nasib golongan terpinggir.
Siti sebelum ini dikenali sebagai antara aktivis yang lantang menyuarakan isu hak asasi manusia, selain sering mengkritik dasar konservatif dan membangkitkan keperluan memisahkan agama daripada pentadbiran kerajaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau mengetuai sekumpulan calon bebas yang dikenali sebagai Gerak dan bertanding di kerusi Parlimen Batu.
Bagaimanapun, Siti hanya memperoleh 653 undi sehingga kehilangan wang deposit, manakala calon PKR, P Prabakaran berjaya mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kedua dengan majoriti 22,241 undi.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti pernah berdepan insiden keselamatan apabila sebuah objek dipercayai bom ditemui di bawah keretanya pada Julai 2023 ketika kenderaan itu menjalani penyelenggaraan rutin.
Polis kemudian mengesahkan objek berkenaan sebagai alat letupan buatan sendiri (IED).










