PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, hari ini mengumumkan keputusan rasmi untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat.
Beliau berkata, keputusan drastik itu dibuat susulan penerimaan surat keputusan pada 30 September lalu yang memaklumkan keahlian partinya digantung selama tiga tahun, selain akses terhadap peruntukan RM3 juta bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya telah disekat dan dikendalikan oleh wakil parti lain.
”Kini keadaan menjadi lebih serius sebab saya tidak lagi boleh menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Saya tidak patut terus menerima gaji sebagai ahli parlimen tetapi hanya duduk senyap sebagai tunggu, sebagai kayu,” jelas beliau dalam sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata, sepanjang bergelar wakil rakyat, pelbagai isu rakyat telah diperjuangkan termasuk isu Akta Pembangunan Semula Bandar (URA), sistem monopoli pekerja asing (FWMCS), cukai SST, kemasukan pemegang STPM ke universiti yang masih kurang adil, serta garis panduan papan tanda perniagaan Selangor.
Namun, jangkaannya bahawa perjuangan itu tidak akan terhenti hanya kerana beliau diarahkan diam meleset sama sekali.
Menurut Chean Chung, beliau tidak mahu terus menjadi mangsa kerana lantang bersuara manakala ahli parlimen lain yang menerima peruntukan besar tetap selamat tanpa sebarang siasatan tatatertib.
Beliau menzahirkan rasa kesal terhadap landskap politik semasa yang semakin dibayangi oleh krisis integriti dan budaya politik korporat yang merugikan rakyat.
”Malaysia pernah melalui era kapitalisme kroni atau kroni kapitalisme, dan kemudian era kleptokrasi.
“Hari ini kita perlu berhati-hati supaya negara kita tidak menjadi mafia state, mirip kerajaan di Mexico atau Colombia.
“Kita lihat dakwaan berkaitan dana bernilai jutaan ringgit yang diterima pemimpin tertentu masih belum disiasat secara telus oleh lembaga disiplin,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan kerjaya politiknya, Chean Chung berkata PKR adalah parti politik pertama yang disertainya selepas meninggalkan kerjaya korporat.
Beliau mendedikasikan sebahagian besar usia mudanya untuk perjuangan parti tersebut kerana percaya politik harus digunakan untuk membela mereka yang tertindas.
Beliau turut mengimbau kembali pelbagai tekanan politik yang ditempuhi dari tahun 2008 hingga 2022, termasuk turun ke jalan raya akibat skandal 1MDB dan berulang kali hadir ke mahkamah.
Justeru, beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal dan merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan PKR serta rakan-rakankannya sepanjang 18 tahun berjuang bersama.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak boleh terus-menerus mencari alasan untuk mempertahankan perkara yang sudah tidak mampu dipertahankan lagi.
Beliau memilih untuk mengakhiri perjalanan ini dengan maruah, berpegang teguh kepada prinsip politik progresif dan reformasi institusi.
”Walaupun saya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen, pusat khidmat Petaling Jaya akan terus beroperasi seperti biasa.
“Saya adalah penduduk Petaling Jaya dan akan terus berdiri bersama rakyat PJ untuk mengubah budaya politik lama yang tidak lagi sesuai dengan Malaysia hari ini,” tegasnya.
Beliau mengesahkan telah bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam untuk menyerahkan surat letak jawatan tersebut secara rasmi dan menegaskan bahawa hanya apabila seseorang berani membebaskan diri, barulah mereka boleh melangkah serta bersinar pada masa hadapan.










