ARAU: Penggantungan sementara Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) disifatkan membawa hikmah tersendiri apabila membuka ruang untuk PAS dan UMNO kembali merapatkan hubungan menerusi agenda Perpaduan Ummah.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, peluang untuk menghidupkan semula kerjasama kedua-dua parti itu masih terbuka luas, mengambil kira hubungan di peringkat akar umbi, khususnya masyarakat luar bandar, yang disifatkan masih kukuh.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, usaha menyatukan kedua-dua parti memerlukan perubahan sikap dalam kalangan kepemimpinan tertinggi agar kepentingan parti dan ummah tidak terus diketepikan demi kepentingan peribadi atau keluarga.
Katanya, pemimpin UMNO dan PAS perlu mengubah pendekatan serta menunjukkan teladan yang baik sekiranya benar-benar mahu melihat penyatuan umat Islam direalisasikan.
“Saya meminta pemimpin UMNO dan PAS supaya ubah cara berfikir untuk kita selamat.
“Kalau pemimpin kedua-dua parti ini tunjuk contoh yang baik, rakyat akan ikut, tetapi kalau pimpinan di atas asyik berkelahi, bila masa rakyat boleh bersatu?” katanya memetik BH.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, kunjungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke kediamannya baru-baru ini turut memperlihatkan kesediaan untuk merintis usaha perdamaian dan memulihkan hubungan antara kedua-dua parti.
Menurutnya, perkembangan itu boleh menjadi titik permulaan kepada usaha membina semula persefahaman politik yang pernah terjalin antara UMNO dan PAS.
Pada 23 September lalu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa serta-merta mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), susulan notis yang dikeluarkan sehari sebelumnya.
Penggantungan itu bertujuan mendapatkan penjelasan terperinci daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan BERSATU kepada jabatan berkenaan dan bukannya keputusan membatalkan pendaftaran gabungan itu.










