KUALA LUMPUR: Selepas lapan hari keputusan pengampunan bersyarat diumumkan, keluarga Datuk Seri Najib Razak masih tertunggu-tunggu garis panduan rasmi mengenai pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Anak keempat Najib, Nooryana Najwa, berkata sehingga kini bukan sahaja keluarganya, malah pasukan peguam juga belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Jabatan Penjara berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.
Katanya, pihak keluarga turut tidak mengetahui sama ada kediaman Najib di Langgak Duta memerlukan sebarang pengubahsuaian sebelum boleh digunakan bagi pelaksanaan tahanan rumah.
“Sebarang SOP daripada pihak penjara kami belum terima. Senang cerita, kami pun tidak dapat apa-apa maklumat secara rasmi. Peguam kita juga belum dapat apa-apa maklumat secara rasmi.
“Jadi kita masih menunggu maklumat daripada pihak penjara. Kami betul-betul tidak tahu. Sebagai ahli keluarga, kami belum dapat apa-apa perkhabaran atau sebarang maklumat daripada pegawai penjara,” katanya.
Perkembangan itu berlaku ketika Najib masih berada di Penjara Kajang, meskipun keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu bagaimanapun bersyarat, termasuk keperluan membayar denda RM50 juta. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini mengesahkan denda berkenaan perlu dilunaskan terlebih dahulu sebelum proses tahanan rumah boleh dilaksanakan, manakala SOP akan dikeluarkan Jabatan Penjara.
Nooryana berkata kediaman di Langgak Duta yang dilaporkan bakal menjadi lokasi tahanan rumah itu sudah tidak didiami sejak bapanya mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022.
“Mak (Datin Seri Rosmah Mansor) duduk dengan saya. Jadi rumah berkenaan memang sudah kosong semenjak (Najib) dipenjarakan,” katanya.
Sebelum ini, peguam Najib, Datuk Hasnal Rezua Merican dilaporkan berkata kediaman berkenaan dipilih kerana tiada ahli keluarga menetap di situ, sekali gus membolehkan ia dijadikan lokasi tahanan tertakluk kepada kriteria ditetapkan Ketua Pengarah Penjara.
Dalam perkembangan berkaitan, Nooryana berkata jumlah sumbangan menerusi Tabung Solidariti yang dilancarkan UMNO bagi membantu memenuhi syarat bayaran denda itu kini dianggarkan melebihi RM2 juta.
Bagaimanapun, katanya, usaha mengumpulkan dana diteruskan dengan membawa tabung berkenaan ke program-program UMNO, khususnya di luar bandar.
“Saya faham orang UMNO bukan tertumpu di bandar, jadi agak sukar untuk kita mencapai sasaran kutipan dana dalam masa yang singkat.
“Jadi, usaha UMNO pada ketika ini adalah membawa tabung pada setiap kali program di luar bandar bagi mencukupkan dana kutipan,” katanya.
Sebelum ini, peguam Najib memaklumkan bekas Perdana Menteri itu sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan bagi memenuhi syarat bayaran RM50 juta, selain menyatakan sebahagian aset, akaun bank dan hartanahnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan.
Mengulas keputusan tahanan rumah itu, Nooryana berkata keluarganya menyambut baik perkembangan berkenaan selepas sekian lama menanti kepastian mengenai nasib Najib.
Katanya, meskipun pelaksanaannya dilihat rumit kerana tertakluk kepada beberapa syarat, keputusan itu sekurang-kurangnya memberikan satu laluan kepada bapanya untuk keluar daripada penjara.
“Sewaktu keputusan itu, emak bersama saya. Kami gembira sebab sekurang-kurangnya ada keputusan. Ada jalan keluar bagi ayahanda.
“Walaupun peluang itu agak rumit bagi keluarga, tetapi kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Nooryana enggan membuat sebarang spekulasi mengenai bila bapanya akan dipindahkan kerana keluarga masih menunggu penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa.
“Sebab masa sekarang kita pun masih menunggu. Tiada sebarang kata putus. Jadi saya tidak boleh komen lebih daripada itu.
“Saya tahu banyak di luar sana membuat spekulasi dan sebagainya. Kalau kita hendak buat keputusan, kita buat keputusan berdasarkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa,” katanya.
Nooryana turut merakamkan penghargaan kepada UMNO dan orang ramai yang menyumbang menerusi tabung berkenaan, sambil berkata sokongan itu memberi harapan kepada keluarganya.
“Kami sangat terharu apabila UMNO mengumumkan akan melancarkan tabung solidariti bagi Datuk Seri Najib. Begitu juga dengan kesungguhan rakyat jelata yang sanggup memberi sumbangan.
“Kami lega kerana akhirnya ada jalan keluar. Ia memberi harapan kepada keluarga, walaupun kami faham pelaksanaannya masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International.
Keputusan pengampunan bersyarat pada 18 September membolehkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.










