Pagar Berkunci, Penumpang Terpaksa Panjat Pagar Di Stesen KTMB Anak Bukit

KUALA LUMPUR: Kegagalan membuka pintu masuk Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Anak Bukit, Alor Setar, pagi tadi menyebabkan beberapa penumpang terpaksa memanjat pagar untuk mengejar tren.

Keadaan itu berlaku sehingga kira-kira jam 6.30 pagi sebelum tular di media sosial selepas seorang pengguna memuat naik gambar dan video menunjukkan beberapa individu memanjat pagar stesen berkenaan.

Menerusi hantaran di Threads, pemilik akaun @ashirahzakri mendakwa ada penumpang yang berjaya memasuki stesen dan menaiki tren, namun sebahagian yang lain terpaksa berdepan risiko terlepas perjalanan meskipun sudah memanjat pagar.

“Ada yang sempat, saya selaku wanita yang lemah tak sempat tetapi (ada) yang berjaya lompat pagar pun tren berlalu pergi,” katanya.

Susulan isu itu, KTMB tampil memberikan penjelasan bahawa kakitangan yang sepatutnya bertugas pada waktu berkenaan berdepan kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

Menurut KTMB, tindakan segera diambil dengan menempatkan kakitangan gantian untuk membuka pintu masuk stesen dan memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa.

“Mohon maaf atas kesulitan yang dialami. Terdapat kecemasan yang tidak dapat dielakkan membabitkan kakitangan yang ditugaskan pada waktu tersebut.

“Walau bagaimanapun, tindakan segera diambil dan pintu masuk stesen sudah dibuka oleh kakitangan gantian bagi memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa,” katanya menerusi maklum balas di media sosial.

KTMB turut menegaskan pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Sekali lagi, KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles