Rundingan Kerjasama Parti Lain Diputuskan Selepas Pembubaran – Rauf

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata proklamasi pembubaran DUN akan diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka hari ini untuk dibawa ke ibu pejabat badan pengendali pilihan raya itu.

“Saya akan serahkan hari ini, dia (Pengarah SPR Melaka) akan membawa proklamasi ini kepada pihak ibu pejabatnya untuk dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka telah memutuskan warkah pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka,” katanya kepada pemberita.

Ab Rauf berkata pemilihan tarikh pembubaran mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemungkinan berlakunya banjir atau bencana.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa menentukan tarikh pembubaran DUN, manakala penetapan tarikh pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa SPR.

“Kita mengambil kira faktor alam. Mungkin ada banjir, mungkin ada bencana. Jadi kita mengambil kira banyak sudut.

“Persediaan pun kita telah bersedia lebih awal kerana pemilihan tarikh pembubaran kita boleh buat, tapi pemilihan tarikh pilihan raya terserah kepada SPR,” katanya.

Ditanya mengenai bentuk kerjasama politik yang bakal dibentuk bagi menghadapi PRN, termasuk kemungkinan konsep “BN Plus”, Ab Rauf berkata perkara itu hanya akan diputuskan selepas proses pembubaran DUN selesai.

“Kita selesaikan DUN ini dululah. Selepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.

“Pastinya saya akan ada rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan akan menilai perbincangan itu dan tawaran-tawaran yang diberikan.

“Yang paling utama bukan untuk kepentingan saya, tetapi kepentingan bagaimana kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada barisan wakil rakyat sedia ada akan dikekalkan sebagai calon atau akan berlaku perubahan dengan kemunculan muka baharu.

Menurutnya, banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenai calon dibuat.

“Tak bolehlah hari ini saya nak beritahu, hari ini saya bubar, hari ini saya nak beritahu siapa calon. Tak bolehlah, tak adil pada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata beliau berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat sepanjang pentadbiran kerajaan negeri apabila kira-kira 80 peratus pelbagai permasalahan rakyat berjaya diselesaikan.

Ia termasuk isu berkaitan kebajikan, kesihatan, sekolah, infrastruktur seperti longkang dan lampu serta bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, baki permasalahan sedang diperhalusi untuk ditentukan sama ada boleh diselesaikan di peringkat negeri atau perlu diangkat kepada Kerajaan Persekutuan.

“Saya amat berpuas hati dengan semua wakil rakyat yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Melaka dalam konsep Melaka Sayang Rakyat,” katanya.

Beliau berkata program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan sepanjang tiga tahun membolehkan kerajaan negeri menjejaki pelbagai masalah rakyat yang sebelum ini tidak sampai ke pengetahuan pentadbiran tertinggi negeri.

Ab Rauf berkata wakil rakyat bertindak sebagai “mata, kepala dan telinga” kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat mengenai masalah di kawasan masing-masing untuk tindakan lanjut.

Katanya, pendekatan turun padang itu akan diteruskan sekiranya kerajaan diberi mandat semula kerana ia terbukti menjadi instrumen penting untuk mendekati rakyat.

Program HEBAT pula akan terus dilaksanakan setiap 45 hari di Seri Negeri dengan pembukaan kaunter berkaitan permasalahan rakyat, selain program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ke kawasan-kawasan DUN.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Pada PRN 2021, BN memenangi 21 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Sebelum ini, Ab Rauf berkata tarikh pembubaran belum ditetapkan kerana beberapa urusan pentadbiran negeri masih perlu diselesaikan terlebih dahulu.

BBerkaitan

Latest articles