DUN Melaka Bubar Esok

​MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok (23 September 2026) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

​Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah mengadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN seterusnya memohon perkenan pembubaran berkenaan.

​”Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah mengadap Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, bagi memaklumkan berhubung dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri Melaka dan seterusnya memohon perkenan Tuan Yang Terutama untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka.

​”Sukacita saya maklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenan bagi Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok bersamaan dengan 23 September tahun 2026 iaitu hari Rabu,” katanya.

​Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di sini pada Selasa.

​Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dengan pembubaran tersebut maka berakhirlah penggal DUN Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa berkaitan.

​Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tun Mohd Ali atas perkenan dan kebijaksanaan beliau dalam melaksanakan fungsi sebagaimana yang diperuntukkan.

​Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.

​”Saya ingin memberikan satu jaminan yang jelas kepada seluruh rakyat Melaka bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka tidak bermakna urusan-urusan kerajaan terhenti.

​”Pentadbiran Negeri Melaka, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan terus berjalan seperti biasa,” jelasnya.

​Menurut beliau, selepas pembubaran itu, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai kerajaan sementara (caretaker government) sehinggalah sebuah kerajaan negeri baharu dibentuk selepas pilihan raya.

​”Pihak kerajaan negeri dan semua jabatan, agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing secara profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tata kelola yang berkuat kuasa.

​”Negeri akan terus ditadbir dengan baik, perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan dan kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles