Peguam Nafi Ismail Dipaksa Tandatangan Proklamasi: “Beliau Buat Secara Rela Hati”

SEREMBAN: Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disifatkan sebagai alasan yang hanya timbul kemudian.

Peguam yang mewakili Undang yang diberhentikan, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, menegaskan Ismail menandatangani dokumen berkenaan secara sedar, rela dan tanpa sebarang unsur paksaan.

Menurut beliau, keadaan yang berlaku pada malam 3 Ogos di Istana Laguna Biru, Port Dickson, tidak menunjukkan wujudnya sebarang situasi yang boleh menyebabkan Menteri Besar dipaksa membuat keputusan berkenaan.

“Alasan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan bahawa beliau menandatangani Proklamasi itu atas paksaan adalah satu pemikiran terkemudian.

“Tiada keadaan pada malam tersebut yang mendorong kepada wujudnya elemen paksaan terhadap YAB Menteri Besar untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar, hari ini.

Kenyataan itu tampil susulan penegasan Ismail kelmarin bahawa Surat Cara Proklamasi yang ditandatanganinya pada 3 Ogos bagi menurunkan Tuanku Muhriz dibuat tanpa kerelaannya dan dalam keadaan duress atau paksaan.

Ismail turut memaklumkan beliau membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang pada 8 September lalu bagi membolehkan dakwaan berhubung perkara itu disiasat pihak berkuasa.

Menteri Besar yang juga ADUN Juasseh itu turut mendakwa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang ditetapkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), sekali gus menyifatkannya tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Mengulas kejadian di Istana Laguna Biru pada malam 3 Ogos, Mohd Khairul Azam berkata beberapa pemegang jawatan adat hadir di lokasi berkenaan sekitar jam 8 malam untuk menghadiri majlis makan malam bersama Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar.

Katanya, Ismail kemudian tiba kira-kira jam 10 malam bersama peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Beliau berkata, satu majlis mengadap kemudian berlangsung membabitkan Ismail bersama Tuanku Nadzaruddin, Datuk Undang Jelebu, Datuk Undang Johol, Datuk Undang Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.

Dalam pertemuan itu, katanya, semua Datuk Undang yang hadir bersama Tunku Besar Tampin memberikan restu terhadap pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kesembilan.

Mereka turut mendoakan supaya kepimpinan baharu negeri mampu menyelesaikan kemelut berkaitan adat yang sedang berlaku.

Menurut Mohd Khairul Azam, pada pertemuan sama, Datuk-Datuk Undang menjelaskan kepada Ismail mengenai keputusan Undang Yang Empat untuk memecat Tuanku Muhriz melalui Proklamasi bertarikh 19 April 2026, berdasarkan Perkara 10(1) UUTKNS.

Penerangan itu, katanya, dibuat dengan kehadiran peguam Ismail sendiri, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Beliau berkata, Ismail turut dimaklumkan bahawa Instrumen Proklamasi berkenaan memerlukan tandatangan Menteri Besar seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(b) UUTKNS.

“Selepas alasan berkaitan pemecatan Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dijelaskan, YAB Datuk Ismail Lasim bersetuju untuk menandatangani Proklamasi Pemecatan berkenaan dengan kehadiran Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

“Justeru, kami menegaskan bahawa YAB Menteri Besar menandatangani Proklamasi bertarikh 3 Ogos 2026 itu secara rela hati dan tanpa paksaan, dengan peguamnya sentiasa berada bersama beliau sepanjang majlis berkenaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles