KUANTAN: Kemuncak Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 dijangka berlangsung meriah apabila perlawanan akhir kejohanan itu bakal diserikan dengan persembahan artis, pelbagai aktiviti serta cabutan bertuah menawarkan sebuah Proton Saga sebagai hadiah utama.
Aksi penentuan juara sulung kejohanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini, pada Ahad, 13 September, sekali gus melabuhkan tirai saingan yang bermula sejak Jun lalu.
Lebih menarik, orang ramai yang hadir bukan sahaja berpeluang menyaksikan aksi final, malah boleh membawa pulang pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah yang disediakan penganjur.
Selain Proton Saga sebagai hadiah utama, dua motosikal, tiga telefon bimbit dan 200 biji bola turut ditawarkan kepada pengunjung.
Program pada hari kemuncak itu dijadualkan bermula seawal jam 4 petang dengan pelbagai aktiviti sebelum perhatian beralih kepada perlawanan akhir yang bakal menentukan pasukan pertama dinobatkan sebagai juara Piala Al-Sultan Abdullah.
Suasana di stadium turut dijangka lebih meriah dengan persembahan artis dan pemuzik tempatan termasuk Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid yang juga gitaris kumpulan Search serta Arghpiez.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang, sekali gus mencerminkan sambutan terhadap usaha memperkasa pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
Selain menjadi medan persaingan pemain tempatan, Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st turut berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat baharu, di samping mengeratkan hubungan masyarakat melalui aktiviti sukan.
Penganjuran berskala negeri itu juga dijangka memberi limpahan positif kepada komuniti dan aktiviti ekonomi setempat apabila pasukan serta penyokong dari pelbagai daerah berkumpul sempena acara kemuncak tersebut.
Orang ramai, khususnya peminat bola sepak Pahang, dialu-alukan hadir ke Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan perlawanan akhir dan menikmati kemeriahan program penutup.
Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah diperkenalkan sebagai wadah pembangunan bola sepak akar umbi dengan membuka ruang kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari seluruh negeri.
Maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh diperoleh menerusi Facebook, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Liga Pahang First di akaun @ligapahangfirst.










