PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Ketua Setiausaha kementerian itu tidak terkecuali daripada kemungkinan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu kelewatan pengagihan Baja 3 kepada pesawah di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang mempunyai kaitan, termasuk aspek dasar, pelaksanaan dan tender.
Beliau berkata, setakat ini 13 saksi sudah dipanggil dan dirakam keterangan, terdiri daripada Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Siasatan awal mendapati pembekal sepatutnya menghantar 616,015 beg baja, namun hanya 333,655 beg dibekalkan setakat September, menyebabkan kekurangan sebanyak 282,360 beg.
Menurut Abd Halim, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan tuntutan palsu.
SPRM turut akan menjalankan analisis kewangan terhadap akaun syarikat terbabit selain mendapatkan keterangan pegawai dan penerima baja di 23 PPK.
“Siasatan perlu adil, telus dan profesional,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.
Kes itu dibuka pada 26 Ogos lalu susulan aduan terhadap TaaVeeKun Manufacturing Sdn Bhd, syarikat yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membekal serta mengagihkan Baja 3 di kawasan MADA.
Kontrak berkenaan melibatkan bekalan 1.23 juta beg atau 30,800 tan baja bagi dua musim tanaman tahun ini, membabitkan kira-kira 60,000 pesawah di kawasan seluas 100,000 hektar dengan nilai tender RM108.62 juta.










