PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah menghentikan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak susulan tragedi helikopter yang meragut lima nyawa di Long Lellang, Ulu Baram, Selasa lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tempoh penangguhan itu akan digunakan untuk meneliti semula aspek keselamatan serta prosedur operasi FDS sebelum perkhidmatan berkenaan disambung.
Menurutnya, tindakan itu tidak bermakna keperluan rawatan kecemasan penduduk di kawasan pedalaman akan dibiarkan tanpa alternatif.
Sebaliknya, katanya, KKM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan khidmat Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi pesakit yang memerlukan pemindahan segera.
“KKM juga akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melihat kemungkinan penggunaan aset ATM untuk membawa pesakit kecemasan ke fasiliti kesihatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam nahas pada kira-kira 3.40 petang 8 September lalu, helikopter BO-105, 9M-LLF, terhempas berhampiran Long Lellang STOLport ketika melaksanakan penerbangan FDS.
Pesawat itu membawa lima individu terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas KKM.
Kesemua mereka disahkan maut dalam kejadian itu iaitu pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin; juruterbang, Kapten Zainol; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta jururawat Debra Moset dan Jessie Paya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.58 petang.
Mengulas langkah seterusnya, Dzulkefly berkata KKM tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penerbangan, sebaliknya akan menilai semula keseluruhan sistem penyampaian FDS di Sarawak.
Antara perkara yang akan diteliti termasuk struktur kontrak, tadbir urus, tahap keselamatan, keluasan liputan serta keberkesanan kaedah penyampaian yang digunakan ketika ini.
Katanya, penilaian itu penting bagi memastikan model perkhidmatan yang bakal digunakan selepas ini lebih selamat, kukuh dan mampu bertahan dalam jangka panjang.
KKM turut meneliti semula lokasi yang diliputi FDS serta kaedah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman, termasuk penggunaan bentuk pengangkutan alternatif yang lebih praktikal dan selamat.
Dzulkefly berkata pihaknya menyedari keputusan menghentikan sementara FDS boleh memberi kesan kepada penduduk yang selama ini bergantung kepada perkhidmatan tersebut.
Namun, katanya, keselamatan pesakit dan petugas perlu menjadi pertimbangan utama, selain memastikan akses kepada rawatan kesihatan di kawasan pedalaman terus dipertahankan.
KKM, katanya, akan terus mengikuti perkembangan siasatan dan membuat pengumuman berkaitan dari semasa ke semasa.










