Beri Kepercayaan, Kemahiran Dan Peluang Ekonomi Kepada Anak Muda – Pemuda Pahang

KUALA LUMPUR – Kepercayaan kepada kepimpinan muda perlu berjalan seiring dengan usaha menyediakan kemahiran, pekerjaan dan ekosistem ekonomi yang membolehkan generasi itu membina masa depan di negeri sendiri.

Perwakilan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi ruang yang diberikan kepada kepimpinan Pemuda di Pahang, pengembangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, semakin ramai pemimpin muda kini diberikan kepercayaan untuk berada di barisan hadapan termasuk dalam pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Di Pahang sendiri, katanya, satu rangkaian kepimpinan muda sedang dibina apabila tiga individu daripada kalangan pimpinan Pemuda diberikan kepercayaan sebagai Penyelaras DUN, Ahli Majlis serta menerusi platform lain.

Mustaqim turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, atas kepercayaan dan sokongan diberikan kepada institusi Pemuda di negeri itu.

“Apabila parti meletakkan Pemuda di barisan hadapan, parti sebenarnya sedang berkata: ‘Kami percaya kepada kamu. Sekarang, buktikan.’

“Dan apabila Pemuda diberikan ruang, kita tidak boleh melihatnya sebagai kejayaan seorang individu. Kita mesti melihatnya sebagai kejayaan kepada institusi Pemuda,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2026.

Dalam pada itu, Mustaqim berkata, kepercayaan terhadap generasi muda juga perlu disokong dengan pembangunan modal insan yang mampu memenuhi perubahan teknologi serta keperluan industri.

Beliau menyifatkan TVET sebagai “gerbang keemasan” kepada anak muda apabila pendidikan berasaskan kemahiran itu membuka peluang kepada mereka mendapatkan kemahiran diperlukan industri dan seterusnya memasuki dunia pekerjaan.

Katanya, ramai anak muda kini berpeluang mendapat pekerjaan dengan gaji yang “bermaruah dan premium”, sekali gus mengubah kehidupan mereka serta landskap pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Menurutnya, agenda itu diterajui Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah kepimpinan yang sebenar. Bukan sekadar bercakap tentang masalah anak muda, tetapi membawa agenda yang membuka peluang kepada mereka.

“Bukan sekadar menjanjikan masa depan, tetapi membina jambatan untuk mereka mencapai kejayaan,” katanya.

Mustaqim berkata, pembangunan ECRL pula berpotensi melengkapkan ekosistem berkenaan dengan mencipta peluang ekonomi dan pekerjaan khususnya kepada penduduk Pantai Timur.

Beliau menyifatkan ECRL bukan sekadar sebuah landasan kereta api, sebaliknya “game changer” yang menghubungkan bandar, kawasan luar bandar, kawasan industri, pelabuhan dan pusat ekonomi menerusi satu rangkaian pengangkutan moden.

Menurutnya, jaringan dari Kota Bharu melalui Terengganu dan Pahang ke Gombak serta seterusnya Pelabuhan Klang mampu memberikan pasaran lebih luas kepada petani, meningkatkan akses pelanggan kepada pengusaha kecil serta memperkukuh jaringan logistik kawasan industri dan pelabuhan.

Lebih penting, katanya, pembangunan itu perlu membuka ruang supaya generasi muda Pantai Timur tidak lagi melihat Kuala Lumpur dan Lembah Klang sebagai satu-satunya destinasi untuk mencari peluang ekonomi.

“Kita tidak mahu Pantai Timur hanya menjadi tempat tinggal. Kita mahu Pantai Timur menjadi tempat orang bekerja, berniaga, melabur dan membina masa depan.

“Kita tidak mahu anak muda Pahang, Terengganu, Kelantan hanya menjadi perantau di Lembah Klang.

“Kita mahu mereka menjadi pemilik kepada pertumbuhan ekonomi di negeri mereka sendiri,” katanya.

Mustaqim berkata, pembangunan infrastruktur perlu menghasilkan rantaian manfaat yang akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

“Daripada landasan kita bina industri. Daripada industri kita cipta pekerjaan. Daripada pekerjaan kita tingkatkan pendapatan.

“Daripada pendapatan kita bina keluarga yang lebih sejahtera. Dan daripada keluarga yang sejahtera, kita bina Malaysia dan negara yang lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan negara pada akhirnya tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan projek mega, angka pertumbuhan ekonomi atau pelaburan berbilion ringgit, sebaliknya manfaatnya perlu dirasai setiap lapisan rakyat.

Menurutnya, ia termasuk memastikan peniaga kecil mampu terus bertahan, anak muda memperoleh pekerjaan dan keluarga tidak terus terbeban dengan peningkatan kos kehidupan.

BBerkaitan

Latest articles