Ramalan PRN Johor Jadi Titik Mula Hubungan Kian Ming Dengan DAP Retak

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, mendedahkan ketegangan hubungannya dengan DAP mula memuncak selepas ramalannya mengenai kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tersebar kepada umum.

Menurutnya, ramalan berkenaan pada asalnya hanya dikongsikan kepada wartawan dalam satu sesi taklimat tertutup, sebelum slaid pembentangannya diperoleh seorang pempengaruh dan kemudiannya disebarkan kepada orang ramai.

Bercakap menerusi episod terbaharu podcast Keluar Sekejap, Ong berkata ramalan itu tidak pernah dibuat dengan niat untuk menyerang PH mahupun mengkritik DAP.

Beliau berkata, namun pendedahan berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan pimpinan DAP pada ketika itu yang mempersoalkan tindakannya membuat ramalan sedemikian.

Ong mendakwa, keadaan menjadi lebih renggang apabila tiada usaha daripada pimpinan parti untuk berbincang dengannya mengenai analisis berkenaan atau bagaimana ramalan itu boleh dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

“Saya fikir itu juga isyarat kepada saya bahawa mereka tidak selesa dengan saya tetapi pada masa sama, mereka merasakan tidak perlu berinteraksi dengan saya,” katanya.

Ramalan Negeri Sembilan turut menjadi perhatian

Ong berkata beliau turut membuat analisis mengenai PRN Negeri Sembilan, termasuk menjangkakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Ramalan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Loke tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi.

Menurut Ong, kekalahan itu bukan disebabkan kegagalan Loke menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, sebaliknya dipengaruhi arus politik ketika itu yang menyaksikan sentimen anti-PH serta naratif perpaduan ummah semakin kuat.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada pemimpin DAP menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan mengenai analisis berkenaan atau berbincang mengenai langkah yang boleh diambil berdasarkan ramalan tersebut.

Ong yang menyertai DAP pada 2012 dan pernah menjadi penolong pengarah pendidikan politik parti itu, akhirnya mengumumkan peletakan jawatan pada 31 Ogos.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai hasrat untuk menyertai parti lain atau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16.

Pada masa sama, beliau mengulangi pendiriannya untuk berkempen bagi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sekiranya tokoh berkenaan bertanding sebagai calon.

Ong berkata, dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas memaklumkan keputusan meninggalkan DAP, tiada pemimpin parti termasuk Loke menghubunginya bagi memujuknya supaya kekal.

Keadaan itu, katanya, menguatkan lagi persepsinya bahawa perpisahan tersebut adalah sesuatu yang wajar berlaku.

“Saya melihat ini sebagai isyarat bahawa ini adalah tarikh yang baik untuk mengumumkan kebebasan DAP daripada saya dan kebebasan saya daripada DAP,” katanya.

Rasa dipinggirkan bukan perkara baharu

Ong turut menjelaskan bahawa keputusan meninggalkan DAP bukan dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya hasil proses peminggiran yang menurutnya berlaku secara beransur-ansur selama beberapa tahun.

Beliau melihat kekalahannya dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2022 sebagai antara petanda bahawa golongan profesional seperti dirinya dan bekas pemimpin parti, Tony Pua, semakin tidak mendapat tempat.

Pua sebelum itu tewas dalam pemilihan cawangan di Selangor dan tidak terpilih menganggotai jawatankuasa negeri, sebelum beliau dan Ong kemudiannya gagal dalam pemilihan CEC.

Ong berkata, beliau sendiri sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 sebelum pemilihan CEC berkenaan.

Keputusan itu, katanya, turut memberi ruang kepadanya untuk menasihati Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, supaya tidak mengambil jawatan pengerusi parti.

“Saya fikir itu mungkin permulaan pengakhiran kerjaya saya dalam DAP,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ong berkata beliau sudah mengenal pasti Syahredzan Johan sebagai antara individu yang berpotensi mengambil alih kerusi Parlimen Bangi daripadanya.

Bagaimanapun, beliau pada ketika itu masih berharap dapat terus memainkan peranan dalam DAP selepas PRU 2022, khususnya dalam bidang dasar dan pembangunan polisi.

Namun, Ong berkata kemungkinan pimpinan DAP mempunyai pandangan berbeza mengenai peranan yang boleh dimainkannya dalam parti.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak berkecil hati dengan keputusan tersebut kerana masih mempunyai tanggungjawab serta ruang untuk menyumbang dalam bidang lain.

Dalam tempoh perkhidmatannya, Ong pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020.

Pengundurannya daripada DAP sebelum ini turut mencetuskan persoalan mengenai keupayaan parti itu mengekalkan tokoh profesional dan berpengalaman seperti beliau.

BBerkaitan

Latest articles